AM

Bioflok Perkasa Sektor Akuakultur, Perkukuh Keterjaminan Makanan - DOF

30/04/2026 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) giat memperkasakan sektor akuakultur negara melalui penerapan teknologi bioflok bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan produktiviti secara mampan.  

DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan teknologi mesra alam itu berasaskan konsep kitar semula sisa ternakan, iaitu bakteria heterotrofik menukar ammonia daripada najis dan lebihan makanan kepada protein mikroba atau “flok”.

“Flok ini seterusnya menjadi sumber makanan semula jadi kepada spesies seperti ikan tilapia, udang putih dan ikan keli sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada makanan komersial sehingga 20 ke 30 peratus,” menurut kenyataan itu.

DOF memaklumkan sehingga 2025, teknologi itu merekodkan pencapaian memberangsangkan dengan jumlah pengeluaran 1,500 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM15 juta berdasarkan harga purata pasaran RM10 sekilogram. 

Selain itu, lebih 80 pengusaha bioflok direkodkan di seluruh negara dengan Kedah mencatatkan bilangan tertinggi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata teknologi tersebut mempunyai potensi besar dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara selain memiliki nilai ekonomi yang tidak boleh dipandang remeh.

“Sistem ini membolehkan ternakan dilakukan dalam kepadatan tinggi di ruang tanah yang terhad, menjadikannya sangat sesuai bagi konsep pertanian bandar,” katanya.

Beliau berkata teknologi itu turut menyokong aspek kelestarian kerana pembuangan sisa air pada tahap minimum sekali gus melindungi ekosistem sungai.

Adnan berkata kepentingan pengurusan teknikal seperti penggunaan sistem tenaga solar hibrid dan aplikasi Internet Kebendaan (IoT) bagi pemantauan kualiti air secara masa nyata juga harus diberi penekanan bagi memastikan kelangsungan operasi.

DOF memaklumkan untuk menyokong pertumbuhan industri itu, kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk Geran Agropreneur Muda sehingga RM20,000, Dana Keterjaminan Makanan melalui Agrobank serta Skim Bantuan Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPEKS).  

Orang ramai yang berminat menceburi bidang itu digalakkan mendapatkan khidmat nasihat di Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Jitra, Kedah yang berperanan sebagai pusat rujukan utama teknologi bioflok di Malaysia atau melayari portal rasmi jabatan www.dof.gov.my.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan