AM

Adaptasi Cuaca Bantu Pengusaha Tembikai Kekal Pengeluaran Sepanjang Tahun

05/05/2026 09:24 PM

JASIN, 5 Mei (Bernama) -- Pengusaha tanaman tembikai tempatan kini mampu menghasilkan pengeluaran sepanjang tahun selepas berjaya membuat membuat adaptasi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di negara ini.

Perkara itu diakui pengusaha tembikai Koh Eng Koon yang berkata perbezaan corak hujan antara utara dan selatan Semenanjung membolehkan penanaman disusun secara berperingkat, sekali gus mengelakkan bekalan terputus di pasaran.

“Berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang ini, saya dapati cuaca di Malaysia bergerak dari utara ke selatan. Jadi apabila negeri di sebelah utara musim hujan, saya alihkan penanaman ke kawasan lain di sebelah selatan. 

"Cuaca kini semakin ekstrem tetapi kalau kita faham pola dan susun penanaman dengan betul, kita masih boleh kekalkan bekalan,” katanya kepada Bernama.

Mengambil masa antara lima hingga 10 tahun untuk memahami corak musim di sesuatu kawasan, Koh, 63, berkata, beliau kini mampu merancang penanaman secara lebih tepat membabitkan beberapa negeri, sekali gus mengurangkan kerugian akibat cuaca ekstrem.

“Setakat ini kita mempunyai ladang hampir di semua negeri kecuali Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Di setiap lokasi penanaman, kita hadkan sekitar 300 hingga 500 hektar,” katanya yang bermula dengan hanya empat ekar (1.62 hektar) tanah di Tiang Dua, Melaka pada awal 1980-an.

Beliau berkata syarikatnya di Melaka, Koon Huat Agriculture memiliki ladang terbesar di Tebonglang di sini dengan keluasan mencecah 200 ekar (80.9 hektar). 

Koh berkata penanaman tembikai terutama varieti Cinta Manis melibatkan kawasan antara 800 ekar (323.7 hektar) hingga 1,200 ekar (485.6 hektar) setiap bulan membolehkan bekalan dihasilkan secara berterusan.

Pengeluaran harian, katanya, dianggarkan antara 250 hingga 350 tan, bergantung kepada keadaan cuaca, dengan pengurusan ladang dilaksanakan secara sistematik melibatkan ratusan tenaga kerja dan puluhan penyelia di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata pemilihan benih turut menjadi faktor kritikal selepas beberapa percubaan awal pihaknya gagal menghasilkan kualiti yang diharapkan.

“Sebelum ini banyak benih kita cuba tetapi tidak begitu menjadi atau menepati standard seperti isi lembik atau tidak manis. Sekarang kita pilih benih yang stabil, menghasilkan isi rangup dan manis, iaitu benih varieti Cinta Manis,” katanya.

Beliau berkata setiap varieti memerlukan pendekatan berbeza termasuk kawalan nutrien dan air serta tempoh tuaian bagi memastikan kualiti buah kekal optimum, termasuk tuaian seawal 26 hingga 28 hari selepas berbunga bagi varieti tertentu.

Mengulas mengenai potensi, beliau berkata tanaman tembikai mempunyai potensi yang besar kerana selain bidang agropelancongan, industri itu juga membuka ruang kepada penggunaan teknologi dan penyelidikan berterusan. 

"Seperti aspek benih, baja dan persenyawaan memerlukan penyelidikan yang terkini dan saya sendiri pergi ke luar negara untuk belajar. Jadi golongan muda perlu mengambil peluang meneroka bidang ini. 

"Jabatan Pertanian sentiasa membantu mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang ini dengan menyediakan pelbagai kursus, program dan geran tertentu,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan