SUKAN

Selangor FC Bawa Bekalan Tipis Ke Vietnam

07/05/2026 12:01 AM

PETALING JAYA, 6 Mei (Bernama) -- Selangor FC membawa bekalan tipis ke gelanggang lawan selepas menewaskan wakil Vietnam, Nam Dinh FC 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah kendalian Kim Pan Gon perlu mengelak kekalahan pada aksi timbal balik di Stadium Thien Truong, Vietnam, Rabu depan bagi mengesahkan kemaraan ke pentas akhir.

Dalam aksi malam ini, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan bertenaga sejak wisel permulaan, namun Selangor lebih menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang awal yang menguji benteng lawan.

Gol pembukaan Selangor hadir pada minit ke-37 apabila hantaran leret Quentin Cheng berjaya disudahkan oleh Chrigor Moraes untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.

Nam Dinh bangkit menyamakan kedudukan apabila Van Vi Nguyen meledak gol pada penghujung babak pertama, sekali gus menjadikan kedudukan 1-1 sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, Selangor kembali memperkemaskan rentak permainan dengan meningkatkan intensiti serangan ke arah kubu lawan.

Hasilnya, Moraes sekali lagi menjadi pemusnah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-58 menerusi sepakan lambung selepas menerima hantaran tepat Quentin.

Nam Dinh cuba bangkit mencari gol penyamaan menerusi beberapa serangan balas pantas, namun barisan pertahanan Selangor kekal disiplin menutup ruang dan menyerap tekanan lawan sebelum wisel penamat ditiup.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan