EKONOMI

CIMB Perkenal Akaun Gaji Dengan Perlindungan Takaful Sehingga RM200,000

07/05/2026 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- CIMB Bank Bhd telah melancarkan produk terbaharunya, Akaun Gaji CIMB (CIMB Salary Account) dengan perlindungan Takaful percuma di bawah program CIMB@Work, mengukuhkan komitmennya dalam menggalakkan daya tahan dalam kalangan tenaga kerja di Malaysia. 

Menurut CIMB, Bank Akaun Gaji CIMB yang baharu ini menyediakan perlindungan Takaful sehingga RM200,000 meliputi 36 penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung, penyakit Alzheimer, strok, kegagalan buah pinggang serta kematian dan hilang upaya kekal dan menyeluruh.

“Sun Life Malaysia Takaful Berhad adalah penaja jamin perlindungan Takaful ini. Saringan atau pengisytiharan kesihatan tidak diperlukan, tidak termasuk pengecualian berkaitan penyakit sedia ada,” menurut CIMB Bank.

Bagaimanapun, bagi layak menerima perlindungan Takaful itu, pemegang akaun harus mengekalkan baki purata bulanan sekurang-kurangnya RM2,500 untuk memulakan perlindungan, dan mengekalkannya pada atau melebihi paras berkenaan untuk kekal dilindungi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Mohd Haniz Mohd Nazlan berkata tawaran baharu itu direka bukan sahaja sebagai platform simpanan tetapi juga sebagai kemudahan kewangan yang menyokong kesejahteraan pelanggan secara keseluruhan.

“Seiring dengan matlamat CIMB untuk memajukan pelanggan dan masyarakat, kami percaya bahawa kemajuan kewangan mestilah holistik dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Produk ini direka untuk membantu pelanggan bukan sahaja menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik, malah turut menyediakan perlindungan tanpa sebarang caj tambahan, katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Akaun Gaji CIMB, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.

Mohd Haniz berkata pelanggan yang membuka akaun tersebut juga akan didaftarkan secara automatik dalam program CIMB@Work, menawarkan keistimewaan tambahan termasuk kadar pembiayaan lebih kompetitif serta akses kepada pelbagai tawaran eksklusif.

Sempena pelancaran produk itu, CIMB akan menawarkan tawaran eksklusif dalam tempoh terhad dari Mei hingga Julai 2026 bagi pelanggan yang layak untuk meningkatkan jumlah perlindungan takaful bagi penyakit kritikal secara berkesan selama satu tahun, tertakluk kepada terma dan syarat berkaitan.

Untuk layak memiliki Akaun Gaji CIMB, pemegang akaun perlu berumur antara 18 hingga 69 tahun dan mempunyai gaji dikreditkan ke dalam akaun tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan