KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM) melantik Cycle & Carriage (C&C) sebagai rakan pengedar sah terbaharunya, menandakan strategi pertumbuhan jangka panjang dan pengembangan rangkaian syarikat itu di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KSM Hyung Ho Kim dalam satu kenyataan hari ini berkata perkongsian dengan C&C, yang mempunyai kehadiran lebih 125 tahun dalam industri automotif di Malaysia, mencerminkan komitmen pengeluar kereta dari Korea Selatan itu untuk memperkukuh jejaknya dan meningkatkan pengalaman pelanggan.
“Pada masa yang sama, kami berhasrat untuk memperkukuh kedudukan pasaran Kia dalam landskap automotif Malaysia yang dinamik,” katanya.
Sementara itu, CEO C&C Malaysia Adrian Short berkata penyertaan Kia merupakan tambahan yang kukuh kepada portfolio mereka dan pihaknya berharap dapat memanfaatkan kepakaran serta kecemerlangan pelanggan dalam aspek jualan, selepas jualan dan perkhidmatan untuk memperluas jangkauan pasaran jenama berkenaan di Malaysia.
Kerjasama ini dijangka meningkatkan titik sentuhan jualan Kia, menambah baik sokongan selepas jualan dan mempertingkatkan pengalaman pemilikan selaras dengan piawaian global pengeluar kereta itu.
Jualan global Kia mencecah 3.13 juta kenderaan pada 2025. Ia menubuhkan KSM sebagai syarikat jualan nasional milik penuhnya pada 3 November, 2025, dengan unit tersebut menguruskan operasi jualan, selepas jualan, latihan, borong dan peruncitan di seluruh negara bermula Januari 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial