AM

IGEM 2026 Bakal Berlangsung Pada Oktober, Sasar Jana Potensi Perniagaan RM22.5 Bilion

12/05/2026 05:35 PM

BANGI, 12 Mei (Bernama) -- Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia 2026 (IGEM 2026), yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober depan di Kuala Lumpur, dijangka dapat menarik 60,000 pengunjung dan menjana potensi perniagaan bernilai RM22.5 bilion.

Pameran itu juga bakal menampilkan 450 gerai pameran dan disertai peserta dari kira-kira 50 negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata ini jelas sekali menunjukkan peranan IGEM yang semakin berkembang sebagai hab serantau bagi inovasi hijau dan peluang perniagaan yang mampan.

“Tema IGEM 2026  ‘Race Towards Net Zero: Action Over Boundaries’, menekankan tentang keperluan mendesak untuk mempercepat tindakan menangani iklim secara bersama.

"Ketika dunia menuju ke arah sifar bersih, kerjasama yang lebih kukuh merentasi industri, sektor dan sempadan adalah penting. Dalam era ketidaktentuan geopolitik ini, keterjaminan dan kemampanan tenaga menjadi kepentingan bersama yang memerlukan tindakan yang diselaraskan," katanya dalam ucapan beliau pada pelancaran awal IGEM 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata IGEM 2026 akan menampilkan bahagian gaya hidup lestari khusus yang mempamerkan kemajuan teknologi hijau terkini dalam sektor yang dipacu pengguna seperti makanan dan minuman, fesyen dan kosmetik.

Di samping itu, IGEM akan memperkenalkan segmen baharu, termasuk platform untuk pemaju hartanah mengetengahkan pembangunan lestari dengan sijil diperakui, serta bahagian mobiliti diperluas yang menampilkan inovasi dalam pengangkutan bersih, kenderaan elektrik dan penyelesaian mobiliti masa hadapan.

IGEM yang kini memasuki edisi ke-17 semakin berkembang dan menjadi sebagai platform utama bagi industri hijau di Asia Tenggara dan diiktiraf sebagai acara perdagangan utama rantau ini bagi teknologi hijau dan penyelesaian eko. 

Sejak mula dianjurkan pada 2010, IGEM telah menarik lebih 700,000 pengunjung dan 4,700 pempamer, serta menjana lebih RM86 bilion potensi perniagaan, mencerminkan penerajuan kukuh Malaysia dalam pembangunan ekonomi hijau.

Mengenai tindakan Malaysia dalam menangani perubahan iklim, Arthur berkata tahun lepas negara telah meningkatkan sasaran untuk mengurangkan 15 hingga 30 juta tan bersamaan karbon dioksida menjelang 2035 melalui langkah domestik yang padu dan kerjasama antarabangsa.

“Sasaran ini sejajar dengan rangka kerja kebangsaan kita, seperti Strategi Pembangunan Pelepasan Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk mencapai sasaran pelepasan karbon rendah pada masa depan dan matlamat pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Arthur berkata kerajaan terus memperkukuh ekosistem sokongannya untuk mempercepatkan penerimagunaan teknologi hijau dalam kalangan perniagaan, melalui insentif utama seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA), Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dan MyHIJAU Mark and Directory.

Katanya, inisiatif ini membantu mengurangkan kos pelaburan, menambah baik akses kepada pembiayaan dan meningkatkan keterlihatan pasaran untuk produk dan perkhidmatan hijau yang diperakui.

Selain itu, katanya, Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS), satu persidangan penting di bawah IGEM akan turut diadakan untuk memberi peluang kepada pemegang kepentingan utama bertukar-tukar pandangan dan bekerjasama bagi mencapai matlamat pelepasan karbon rendah dan iklim lebih berdaya tahan.

Dilancarkan pada 2025, KLSS merupakan platform serantau yang menyokong tindakan iklim dan pembangunan lestari di Asia Tenggara untuk perbincangan mengenai isu utama seperti dasar iklim, kewangan lestari, tadbir urus karbon dan penyahkarbonan perindustrian, di samping memupuk kerjasama yang membawa kepada hasil yang praktikal dan boleh diukur.

Maklumat lanjut mengenai IGEM 2026 dan peluang penyertaan boleh didapati di https://www.igem.my/

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan