BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 JENAYAH & MAHKAMAH

Hina Sahabat Nabi: NGO Buat Laporan Polis Terhadap Nik Muhammad Zawawi

13/05/2026 02:30 PM

PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Daie MADANI serta beberapa NGO lain menggesa pihak polis menyiasat Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi Daie MADANI Ustaz Amir Zuhair Abdull Khalid berkata tuduhan Nik Muhammad Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu tidak bersandarkan kepada mana-mana kitab atau sirah yang sahih, justeru menjadikannya satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Setakat yang dia (Nik Muhammad Zawawi) masukkan adalah daripada Ar-Raheeq Al-Makhtum, padahal kitab tersebut tidak menjelaskan siapa sahabat yang pada zaman jahiliah yang terlibat dengan perkara tersebut. 

"Tidak ada satu spesifik kitab pun dalam sirah Islam ini yang menjelaskan atau yang mengatakan tuduhan yang dilemparkan oleh Nik Muhammad Zawawi kepada dua sahabat Nabi yang besar ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, wakil Angkatan Belia Islam Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia serta Angkatan Muda Keadilan.

Amir Zuhair berkata laporan polis dibuat bagi menyeru pihak berkuasa menyiasat Nik Muhammad Zawawi di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

"Inilah adalah tiga akta yang kami masukkan dalam laporan polis supaya Nik Muhammad Zawawi dihadapkan ke muka pengadilan atas ketelanjuran perkataan kepada para sahabat Nabi," katanya.

Beliau juga menyeru ahli politik PAS itu untuk menginsafi perbuatan tersebut, lebih-lebih lagi apabila parti beliau sendiri turut mengkritik tuduhan yang dibuatnya itu.

Sebelum ini, tular video yang dipercayai memaparkan Nik Muhammad Zawawi mendakwa  Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA  sebagai seorang "bapa ceti" yang gemar memeras orang miskin semasa zaman jahiliyah manakala Saidina Umar al-Khattab RA pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

 Kenyataan itu dipercayai disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lepas.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi hari ini tampil memohon maaf dan mengakui bahawa beliau kurang cermat dalam mengolah serta menyampaikan maklumat ketika itu.

“Tujuan asal kenyataan saya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosiobudaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian PAS mahupun kepimpinannya," katanya dalam kenyataan yang dikongsi laman Facebook Dewan Ulama PAS Pusat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan