JENAYAH & MAHKAMAH

Najib Berjaya Tangguh Pembayaran USD1.3 Bilion Kepada SRC Sementara Tunggu Rayuan

13/05/2026 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran ganti rugi sebanyak USD1.3 bilion kepada SRC International sementara menunggu rayuan terhadap keputusan mahkamah pada Mac lepas.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, berkata terdapat keadaan khas yang mewajarkan penangguhan itu termasuk jumlah tuntutan yang besar terhadap seorang individu, duluan penangguhan yang diberikan dalam kes cukai Najib membabitkan RM1.69 bilion serta denda yang dikenakan ke atas beliau dalam kes jenayah sebelum ini.

“Faktor yang perlu dipertimbang ialah jumlah penghakiman kewangan luar biasa besar yang dikenakan terhadap defendan, penghakiman kewangan berskala sama dalam saman Lembaga Hasil Dalam Negeri serta liabiliti jenayah yang melibatkan penalti kewangan.

“Penghakiman dan perintah yang dihadapi defendan secara serentak ini, apabila dilihat secara keseluruhan, ialah keadaan khas yang mewajarkan penangguhan diberikan... adalah lebih baik kes ini diputuskan sepenuhnya di peringkat tertinggi terlebih dahulu sebelum sebarang penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.

Pada prosiding yang berlangsung menerusi aplikasi Zoom hari ini, Ahmad Fairuz memerintahkan Najib membayar kos RM2 juta kepada SRC International dan RM150,000 kepada setiap defendan pihak ketiga yang dinamakan dalam saman itu.

Dalam keputusannya pada Mac lepas, hakim berkenaan tidak menetapkan jumlah kos yang perlu dibayar oleh bekas Perdana Menteri itu kepada SRC International dan lima defendan pihak ketiga dalam saman tersebut.

Mereka ialah bekas pengarah SRC International iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar

Perkara itu disahkan oleh peguam SRC International iaitu Luc Choong selepas prosiding itu selesai.

Pada 31 Mac lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian USD1.3 bilion yang dialami SRC International Sdn Bhd selepas beliau didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Ahmad Fairuz membuat keputusan itu selepas membenarkan saman sivil difailkan SRC International berjumlah USD1.18 bilion dan mengarahkan Najib membayar jumlah berkenaan, selain USD120 juta yang diterimanya daripada syarikat terbabit ke dalam akaun AmPrivate Banking dengan nombor berakhir 964 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan USD1.3 bilion.

Mahkamah turut menolak tuntutan Najib terhadap defendan pihak ketiga dengan kos selepas mendapati bahawa beliau, yang memiliki kawalan ke atas syarikat itu, tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada individu yang hanya melaksanakan keputusan yang dibuat atas arahan beliau sendiri.

SRC memulakan saman pada Mei 2021, mendakwa Najib telah melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan