KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd melonjak kepada RM326.50 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2026 daripada RM222.46 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun kewangan 2025, didorong kos operasi lebih rendah pada suku keempat 2025.
Perolehan turut meningkat kepada RM896.28 juta daripada RM621.29 juta bagi tempoh sama, disumbangkan terutama oleh perolehan kontena yang lebih tinggi manakala keuntungan sesaham meningkat kepada 9.54 sen daripada 6.52 sen.
Menurut Westports krisis di Asia Barat telah mengganggu bekalan tenaga dan mencetuskan kenaikan harga yang ketara.
“Memandangkan syarikat menggunakan diesel tanpa subsidi dan menjadikan Platts sebagai penanda aras harga pembelian, kos bahan api dijangka meningkat dengan ketara sekiranya harga semasa yang tinggi ini berterusan,” katanya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Westports menjelaskan harga tenaga global yang kekal tinggi juga akan menyebabkan tekanan inflasi merentas ekonomi dunia, mengurangkan kuasa beli pengguna dan menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan, sekali gus memerlukan langkah penjimatan yang boleh menyebabkan ekonomi mengalami kemelesetan.
Syarikat itu menambah bahawa perkapalan kontena kini mengubah pelabuhan singgahan dan mengalihkan kontena ke laluan atau pelabuhan lain bagi mengelakkan pelayaran melalui Selat Hormuz.
“Syarikat masih mengekalkan kadar pertumbuhan pengendalian kontena satu digit yang positif ekoran keadaan yang sukar dijangkakan, namun akan memberikan panduan terkini sekiranya keadaan mencabar ini berterusan atau jumlah susut dengan ketara,” tambah Westports.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial