AM

Kanak-kanak 10 Tahun Dikhuatiri Lemas Di Sungai Selisek

28/05/2026 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai dibawa arus di Sungai Nilam, Sungai Selisek, Hulu Selangor tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.40 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.

“Kerja-kerja pencarian sedang dilakukan oleh anggota bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jentera pertama tiba di lokasi pada 2.35 petang dengan kekuatan lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Hilux dan sebuah bot.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor ACP Ibrahim Husin berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain di tebing sungai tersebut sebelum dihanyutkan arus deras.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat bermula pada 2 petang hingga 7 malam namun dihentikan susulan keadaan semakin gelap.

“Operasi akan disambung semula esok pagi melibatkan 48 kekuatan anggota dari pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Kementerian Kesihatan dan sukarelawan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim juga berkata ketika kejadian, mangsa memakai baju lengan pendek berwarna merah jambu dan seluar pendek hitam.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-6064 1222.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan