BEIJING, 4 Jun (Bernama-CMG) -- "Dialog Datuk Bandar Dunia 2026 · Beijing" anjuran Pejabat Penerangan Dewan Negara China berlangsung di sini pada 2 hingga 3 Jun, dengan penyertaan lebih 30 datuk bandar dan wakil bandar dari enam negara Afrika termasuk Maghribi, Seychelles, Tunisia dan Senegal serta wakil Persatuan Bandar Pelancongan Dunia.
Para peserta bertukar pandangan dan mengadakan perbincangan secara mendalam mengenai usaha "memperkukuh aspek tamadun dalam pertukaran dan menyuburkan persahabatan tradisional China-Afrika", selain meneroka pendekatan untuk merancakkan pertukaran budaya dan kerjasama antara bandar.
Beberapa wakil bandar Afrika turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan China dalam bidang kebudayaan dan pelancongan, sempena ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik serta "Tahun Pertukaran Budaya China-Afrika".
Timbalan Datuk Bandar Ziguinchor Senegal, Hadj Sarr Faye berkata hubungan Afrika-China yang berkembang sejak bertahun-tahun lalu telah meluaskan skop kerjasama daripada bantuan tradisional dan projek infrastruktur kepada bidang penyelidikan saintifik, pendidikan serta pertukaran budaya. Beliau berkata pelaksanaan projek kerjasama dalam pelbagai bidang yang substantif akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.
Ketua Setiausaha Kerajaan Bandar Tozeur Tunisia, Rachid Nacer pula berkata pihaknya amat menghargai kerjasama dengan China dan melihat China sebagai rakan kerjasama yang penting.
Menurut beliau, pihaknya mahu terus menambah baik dan mengoptimumkan landskap pelancongan domestik untuk menarik lebih ramai pelancong dari China, selain berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Beijing dalam menangani pelbagai isu pembangunan termasuk pengurusan hakisan tanah di kawasan gurun.
Semasa acara itu, para peserta turut berpeluang menyaksikan persembahan seni teh tradisional dan kaligrafi China di Silk Street Beijing, selain mengikuti taklimat mengenai aplikasi teknologi pintar serta bengkel interaktif pengalaman imersif di Pusat Inovasi Antarabangsa Zhongguancun.
Aktiviti itu mencerminkan gabungan budaya warisan dan kemajuan teknologi tinggi China.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial