JENAYAH & MAHKAMAH

Tempat Pemprosesan Bahan Buangan Terjadual Kilang Di Gebeng Terbakar

12/06/2026 01:37 PM

KUANTAN, 12 Jun (Bernama) -- Tempat pemprosesan bahan buangan terjadual di sebuah kilang di  Gebeng, di sini terbakar, pagi tadi. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.29 pagi, namun setakat ini tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu. 

“Pasukan bomba mendapati kebakaran sisa buangan terjadual di dalam kilang itu melibatkan bahan berunsur minyak dan solvent (pelarut) serta turut menjejaskan stor penyimpanan di situ. 

“Kejadian berlaku semasa tiada pekerja berada di dalam kilang berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. 

Mohd Razam berkata kebakaran dapat dikawal pada 8.25 pagi sekali gus menghalang api daripada merebak ke kawasan berhampiran. 

Selain itu, beliau berkata kira-kira 200 pelajar Institut Latihan Perindustrian berhampiran kilang itu dipindahkan ke kawasan selamat buat sementara waktu atas faktor keselamatan. 

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) kami masih mengawal dan memantau lokasi kejadian bagi memastikan kawasan itu selamat serta bebas daripada sebarang risiko pencemaran yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya. 

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.  

Mohd Razam berkata operasi melibatkan lebih 50 anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Gebeng serta Taman Tas selain dibantu lebih 30 petugas agensi sahabat seperti polis dan Kementerian Kesihatan. 

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati laluan ke kilang itu dikawal polis dan pasukan bomba masih lagi menjalankan pemeriksaan susulan di lokasi kejadian. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan