KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman di Shahzan House, Ampang di sini, semalam.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam pertemuan selama sejam itu, Al-Sultan Abdullah berkenan mendengar sembah taklimat mengenai perkembangan terkini suruhanjaya tersebut.
Selain itu, SPRM turut mempersembahkan pelbagai perkara berkaitan usaha memperkukuh integriti dan memerangi rasuah di negara ini.
"Pertemuan turut menyentuh isu-isu semasa berhubung tadbir urus, pencegahan rasuah serta inisiatif yang dilaksanakan SPRM dalam meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Abd Halim turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan baginda meluangkan masa menerima menghadap serta mendengar sembah taklimat berhubung peranan dan perkembangan semasa SPRM.
Abdul Halim juga menjunjung kasih atas sokongan dan keprihatinan Al-Sultan Abdullah terhadap usaha berterusan membanteras gejala rasuah demi memastikan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti di negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial