BUTTERWORTH, 13 Jun (Bernama) -- Pengundi muda perlu meningkatkan literasi politik agar setiap undi yang diberi berlandaskan kepada ilmu serta kefahaman dan bukannya dipengaruhi sentimen atau kandungan tular di media sosial.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Mohd Kamil Munim berkata hak mengundi yang dijamin di bawah Perlembagaan adalah satu amanah besar dan perlu digunakan secara bijak kerana setiap keputusan yang dibuat akan menentukan hala tuju negara.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu berkata perkara tersebut amat penting terutama bagi generasi muda yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama dalam pilihan raya akan datang.
“Peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana setiap undian yang kita berikan akan menentukan hala tuju ke hadapan.
“Kalau kita tidak tahu apa yang kita undi atau pilih, maknanya kita tidak mempunyai literasi politik,” katanya semasa program POV Anak Muda: Anak Muda dan Ketidakpastian Realiti Siri 2 Zon Utara di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd Kamil berkata generasi muda tidak seharusnya menilai kebenaran sesuatu maklumat hanya berdasarkan jumlah tanda suka, perkongsian atau populariti sesuatu kandungan di media sosial sebagai penentu kebenaran terhadap sesuatu maklumat.
Sebaliknya, beliau berkata golongan itu perlu membudayakan sikap meneliti maklumat, memahami dasar yang ditawarkan serta menilai rekod dan keupayaan pihak yang bertanding sebelum membuat keputusan dalam pilihan raya.
Program sehari itu menghimpunkan kira-kira 950 peserta dan menjadi platform dialog antara anak muda, penggubal dasar serta penganalisis dalam membincangkan isu kos sara hidup, pekerjaan, ekonomi, akses maklumat dan cabaran landskap digital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial