AM

Tiada Seorang Anak Harus Tercicir Peluang Pendidikan Kerana Kekangan Kewangan - Raja Muda

16/06/2026 01:22 PM

KANGAR, 16 Jun (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang keluarga, status sosial mahupun keadaan ekonomi.

Titah baginda pendidikan awal kanak-kanak, memainkan peranan sangat penting dalam melahirkan umat berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia kerana pada peringkat itulah asas pembelajaran, pembentukan sahsiah dan perkembangan potensi seseorang mula dibentuk.

“Sesungguhnya, pendidikan merupakan asas kepada pembangunan sesebuah bangsa dan negara,” titah baginda semasa berkenan menyempurnakan majlis penyampaian biasiswa “Seorang Anak Sebesar Harapan” bagi tahun ini di Dewan Serbaguna, Jabatan Pendidikan Perlis di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berbesar hati terhadap komitmen pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak dapat menikmati manfaat pendidikan awal yang berkualiti.

“Usaha sedemikian, membuktikan pembangunan pendidikan menjadi tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama erat antara institusi pendidikan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Melalui kerjasama ini, saya percaya bahawa setiap usaha yang dilaksanakan demi memperluas akses kepada pendidikan awal yang berkualiti, akan memberi manfaat jangka panjang kepada negara, sekali gus melahirkan generasi yang berpengetahuan, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh,” titah baginda.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pemberian biasiswa “Seorang Anak Sebesar Harapan” bukan sekadar bantuan kewangan, malah merupakan satu pelaburan amat berharga dalam membina masa depan generasi pewaris negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan