EKONOMI

Lawatan Rasmi PM Anwar: Malaysia, Turkmenistan Dijangka Bertukar Dokumen Penting termasuk O&G

18/06/2026 06:30 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

ASHGABAT (TURKMENISTAN), 18 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Turkmenistan dijangka bertukar dokumen penting termasuk dalam minyak dan gas yang menjadi sebahagian daripada agenda bersempena dengan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara ini bermula Khamis.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, lawatan rasmi Anwar ke Turkmenistan pada 18 dan 19 Jun, 2026 merupakan jemputan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov.

Anwar dan Berdimuhamedov juga dijangka menandatangani Kenyataan Bersama serta menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting, termasuk Perjanjian Perkhidmatan Udara antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Turkmenistan.

Dokumen lain melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negara, Kementerian Luar dan Institut Hubungan Antarabangsa, Kementerian Luar Turkmenistan; Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pengangkutan dan Perkhidmatan Negeri Turkmenistan; Memorandum Persefahaman antara Akademi Sains Malaysia dan Akademi Sains Turkmenistan; serta dokumen dalam bidang minyak dan gas.

Wisma Putra menjelaskan lawatan itu juga merupakan lawatan balas susulan lawatan rasmi Presiden Turkmenistan ke Malaysia pada Disember 2024.

“Ini merupakan lawatan julung kali Perdana Menteri ke Turkmenistan dan bertepatan dengan ulang tahun ke-30 operasi Petronas di Turkmenistan, yang telah beroperasi sejak 11 Mei, 1996,” tambah Wisma Putra.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan kalangan pegawai kanan kerajaan.

Semasa lawatan, beliau akan disambut oleh Berdimuhamedov dalam Majlis Sambutan Rasmi di Istana Presiden, sebelum mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan status hubungan dua hala serta membuka ruang bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, minyak dan gas, pertanian dan komoditi, tenaga, pelancongan, pendidikan dan kesalinghubungan antara rakyat, digital, sains dan teknologi.

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya perkembangan di ASEAN dan rantau Asia Tengah,” menurut Wisma Putra.

Anwar turut dijadualkan merasmikan Forum Malaysia-Turkmenistan bersama-sama dengan Berdimuhamedov.

Pada 2025, Turkmenistan ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia daripada kalangan negara Asia Tengah.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 9.0 peratus peratus daripada angka pada tahun sebelumnya.

Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama Petronas, dengan jumlah pelaburan Petronas di negara ini telah mencecah RM52.73 bilion sejak 1996 sehingga kini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan