AM

STPM 2025: TPM Ahmad Zahid Ucap Tahniah, Bangga Pencapaian Calon Bagan Datuk

19/06/2026 11:40 AM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada semua calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025, yang menerima keputusan semalam termasuk calon dari Bagan Datuk, Perak.

Dalam catatan di laman Facebook rasminya hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, amat berbangga apabila Bagan Datuk muncul sebagai daerah terbaik di Perak dalam STPM 2025 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.25, serta mencatatkan 100 peratus pelajar lulus penuh.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua. Walau apa jua keputusan yang diperoleh, saya percaya setiap usaha dan kesungguhan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh pembelajaran merupakan satu kejayaan yang wajar dibanggakan.

“Saya turut berbangga dengan pencapaian anak-anak Bagan Datuk. Alhamdulillah, ini membuktikan bahawa anak-anak Bagan Datuk mampu berdiri sama tinggi dan bersaing dengan cemerlang pada peringkat negeri mahupun negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ahmad Zahid turut merakamkan tahniah dan terima kasih kepada pelajar, guru, ibu bapa serta seluruh warga pendidikan Bagan Datuk yang telah memainkan peranan besar dalam melakar kejayaan yang membanggakan itu.

Beliau menitip pesanan agar semua calon terus melangkah ke hadapan dengan penuh yakin dan menjadikan pencapaian itu sebagai titik permulaan untuk mencapai cita-cita yang lebih besar pada masa hadapan.

“Semoga kecemerlangan ini dapat terus dipertahankan dan menjadi inspirasi kepada generasi yang akan datang,” katanya.

Pencapaian keseluruhan calon peperiksaan STPM 2025 menunjukkan peningkatan dengan PNGK nasional meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85, pada tahun sebelumnya.

Bagan Datuk diumumkan sebagai daerah terbaik di Perak bagi keputusan STPM 2025, dengan pencapaian PNGK cemerlang 3.25 berbanding 3.22 pada 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan