IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperuntukkan RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Kering di Kuala Kangsar menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI.
KPK dalam kenyataan memaklumkan majlis penyerahan Sekolah Angkat MADANI 2025 kementerian itu di sekolah tersebut hari ini disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) KPK Shafie Taib.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) bertindak sebagai agensi pelaksana program yang menjadi sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian dalam menyokong agenda pembangunan pendidikan dan pemerkasaan modal insan negara.
“Program ini menjadi inisiatif strategik Kerajaan MADANI dalam memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti melalui penambahbaikan infrastruktur sekolah, pelaksanaan program peningkatan akademik, pembangunan sahsiah dan kepimpinan murid serta pengukuhan kemudahan pembelajaran digital,” menurut kenyataan itu.
KPK memaklumkan pemilihan SK Bendang Kering mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan murid di kawasan luar bandar turut menikmati kemudahan pendidikan yang berkualiti, selesa dan setanding dengan perkembangan pendidikan semasa.
KPK memaklumkan peruntukan itu dimanfaatkan bagi menaik taraf tapak perhimpunan, dewan, sudut bacaan ilmiah dan kelas prasekolah selain menyediakan kemudahan seperti papan pintar interaktif yang membolehkan proses pengajaran serta pembelajaran secara lebih interaktif, kreatif serta berkesan.
Selain itu, penyediaan penyaman udara, papan tanda ilmiah dan kerusi murid pula mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta berteraskan teknologi.
“Program ini turut merangkumi pelaksanaan inisiatif peningkatan akademik serta pembangunan bakat dan kepimpinan murid bagi membantu melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.
KPK juga memaklumkan program peningkatan akademik melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik turut dilaksanakan dengan bantuan serta insentif disediakan sebagai galakan kepada murid yang menunjukkan pencapaian cemerlang.
Pada masa sama, KPK turut memberi penekanan terhadap pembangunan sahsiah dan kepimpinan murid melalui pelaksanaan program seperti kem motivasi kepimpinan dan kem pembangunan bakat.
“KPK yakin pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI akan terus menjadi platform penting dalam memperkasakan pendidikan, merapatkan jurang akses kepada kemudahan pembelajaran serta melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial