BRUSSELS, 19 Jun (Bernama-dpa) -- Kesatuan Eropah (EU) buat pertama kali melanjutkan sekatan ekonominya terhadap Rusia selama 12 bulan berbanding enam bulan sebelum ini, kata jurucakap Presiden Majlis Eropah Antonio Costa pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
EU mengenakan pelbagai langkah sekatan terhadap Moscow sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada 2022.
Sekatan itu khususnya menyasarkan hasil pendapatan Rusia daripada penjualan bahan api fosil di pasaran antarabangsa, industri persenjataan negara itu serta institusi kewangannya.
Sebelum ini, sekatan berkenaan perlu diperbaharui setiap enam bulan dan pelanjutannya memerlukan persetujuan sebulat suara daripada semua 27 pemimpin negara anggota EU.
Ukraine menerima gelombang baharu sokongan daripada EU selepas bekas Perdana Menteri Hungary Viktor Orban, yang sebelum ini menghalang beberapa inisiatif bantuan, tewas dalam pilihan raya dan tidak lagi memegang jawatan awal tahun ini.
Sejak itu, EU telah memulakan rundingan rasmi penyertaan Ukraine sebagai anggota blok berkenaan serta meluluskan pinjaman bernilai €90 bilion (US$104.5 bilion) kepada Kyiv.
Pada Khamis, kesemua 27 pemimpin EU yang berhimpun di Brussels turut menerima pakai satu deklarasi bersama sebagai tanda sokongan kepada Kyiv secara sebulat suara buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun, selepas Orban berulang kali enggan menyokong kenyataan EU berkaitan Ukraine.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial