AM

Takaful IKHLAS Santuni Asnaf Menerusi Program Kasih Korban Di Seremban

19/06/2026 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Takaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat MNRB Holdings Berhad melaksanakan Program Kasih Korban bagi memperluas manfaat ibadah itu kepada golongan asnaf serta komuniti setempat di Seremban, Negeri Sembilan sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Takaful IKHLAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak RM59,500 disalurkan melalui sumbangan seluruh warga MNRB dan IKHLAS Barakah House bagi menjayakan ibadah korban yang melibatkan 10 ekor lembu.

“Program Kasih Korban adalah sebahagian daripada usaha berterusan Takaful IKHLAS dalam menyokong kesejahteraan komuniti melalui pendekatan yang menggalakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam menyantuni golongan yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.

Takaful IKHLAS memaklumkan program itu turut mendapat kerjasama Masjid Jamek Dato' Kelana Petra Sendeng dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan itu, dalam semangat kebersamaan, program berkenaan turut menghimpunkan warga kerja Takaful IKHLAS, ahli jawatankuasa masjid, sukarelawan dan ahli kariah dalam kerja-kerja penyediaan serta pengagihan 700 pek daging korban kepada 106 penerima asnaf serta komuniti setempat yang memerlukan.

Bagi menyokong usaha pengimarahan masjid, Takaful IKHLAS turut menyampaikan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM5,000 kepada masjid berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap peranannya dalam pembangunan ummah serta sebagai pusat penyatuan komuniti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata program itu bukan sekadar usaha berkongsi rezeki tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara Takaful IKHLAS, institusi agama dan masyarakat setempat.

“Melalui program Kasih Korban, kami percaya nilai sebenar sebuah inisiatif bukan hanya diukur menerusi sumbangan yang disalurkan tetapi juga impak yang dapat diwujudkan kepada masyarakat dengan memperlihatkan kesepaduan antara organisasi dan tenaga kerjanya dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan sama. 

Beliau turut berharap agar inisiatif seperti itu dapat terus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan memperkukuh semangat saling membantu dalam masyarakat, sekali gus mencerminkan nilai keprihatinan yang menjadi teras Takaful IKHLAS.

Program itu turut dihadiri Pengerusi Masjid Jamek Dato' Kelana Petra Sendeng Rosli Che Man serta Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan