PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses akhir untuk menyelesaikan beberapa isu termasuk kekangan birokrasi yang menjejaskan laluan latihan dan pembangunan bagi melahirkan pakar perubatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM telah mengenal pasti beberapa halangan atau kekangan yang perlu ditangani bagi memastikan proses melahirkan lebih ramai pakar dapat disegerakan.
“Ya, saya tahu mungkin ada kekangan yang bersifat birokratik tetapi semua itu akan kita tangani dan kita dalam proses untuk (selesaikan). (Kita) dalam proses terakhir untuk memastikan dapat atasi semua itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKM dan Sarawak Energy bagi pembinaan Klinik Kesihatan Bakun-Murum di sini hari ini.
Dzulkefly mengulas laporan mengenai negara berdepan kekurangan kira-kira 11,000 doktor pakar sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan sistem kesihatan awam bagi menampung keperluan rakyat.
Beliau berkata jumlah kekurangan 11,000 pakar yang dilaporkan itu adalah merangkumi pakar di sektor awam dan swasta.
Katanya, ketika ini perancangan penambahan pakar perubatan di KKM dilaksanakan secara berfasa dan diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur.
“Saya perlu sebutkan bahawa (bagi) penambahan pakar, kita selalunya bergerak bersekali dengan peningkatan ataupun penambahan kemudahan infrastruktur.
“Sebab itu, penambahan pakar mesti dibuat berfasa dan berterusan mengikut keperluan dan kepentingan semasa. Kita mempunyai perancangan… pakar kita pun kita selaraskan dengan keperluan fasiliti,” katanya.
Dzulkefly berkata KKM ketika ini menggunakan pendekatan sistem pengurusan krisis kluster sebagai langkah interim untuk menangani keadaan semasa sementara penyelesaian yang lebih komprehensif dimuktamadkan.
Katanya, pendekatan itu membabitkan kerjasama antara hospital dalam kluster serta klinik kesihatan, termasuk penyusunan semula dan pergerakan petugas kesihatan mengikut keperluan.
"Paling penting, perkhidmatan kesihatan tidak terganggu. Kita sangat sedar tekanan terhadap tenaga kerja, namun kita sedang berusaha mengatasinya melalui pengurusan krisis kluster ini sementara penyelesaian yang lebih menyeluruh dimuktamadkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial