BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada setiap kelab media negeri yang kini menjadi ahli Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), manakala gabungan itu menerima RM30,000 bagi melaksanakan aktiviti dan program berkaitan kebajikan wartawan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berharap sumbangan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan pengamal media.
“Untuk setiap kelab media negeri yang merupakan ahli GKMM sekarang, saya umumkan sumbangan sebanyak RM10,000 dan untuk GKMM, tahun ini saya beri RM30,000. Manfaatkan untuk aktiviti dan program sebaik mungkin.
“GKMM merupakan wadah penting dalam membawa suara pengamal media, mengetengahkan isu kebajikan serta menyampaikan harapan mereka berkaitan masa depan industri kewartawanan negara,” katanya ketika berucap pada Program Permukiman Media Malaysia 2.0 2026 di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata wartawan memainkan peranan penting sebagai saksi kepada sesuatu peristiwa, mendapatkan maklumat daripada sumber primer serta mengolahnya menjadi berita berdasarkan disiplin, pengalaman dan kemahiran.
“Wartawan tidak boleh digantikan dengan kecerdasan buatan (AI). Tanpa wartawan, tidak ada berita. Jadi, itulah komitmen saya dan Kementerian Komunikasi untuk memastikan pekerjaan wartawan dapat dikekalkan,” katanya.
Fahmi berkata walaupun GKMM bukan sebuah kesatuan sekerja, gabungan itu boleh memainkan peranan menyampaikan isu yang dihadapi pengamal media supaya kerajaan dapat meneliti bentuk bantuan bersesuaian.
Beliau berkata kerajaan juga akan terus mendapatkan pandangan pengamal media dalam merangka dasar, seperti dilakukan dalam penggubalan Akta Majlis Media Malaysia, yang sebahagian besarnya dibentuk berdasarkan cadangan dan pandangan industri media.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial