BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib meraikan pengamal media dari seluruh negara dan rantau ASEAN hari ini pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, sebagai tanda penghargaan terhadap peranan penting media dalam pembangunan negara.
Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena HAWANA 2026 bersama Yang Dipertua Negeri yang berlangsung penuh meriah di sini menghimpunkan hampir 350 hadirin termasuk pengamal media, ketua pengarang, pengurusan tertinggi organisasi media tempatan dan antarabangsa, wartawan veteran serta pemimpin kerajaan negeri menjelang Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang berlangsung esok.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes serta Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil.
Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.
Majlis turut disertai pemimpin organisasi media utama negara termasuk Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Media Prima Bhd dan Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Farrah Naz Karim, Ketua Pengarang Sin Chew Daily Chan Aun Kuang, Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Datin Paduka Esther Ng Sek Yee, Ketua Editor Daily Express Sabah Datuk Sardahthisa James serta Ketua Pengarang Astro Awani Zaiful Mohd Ariffin.
Turut diraikan ialah delegasi media antarabangsa dari beberapa negara ASEAN dan Asia antaranya Presiden agensi berita Timor-Leste, TATOLI Agência Noticiosa de Timor-Leste (TATOLI) Noémio Mateus Soares Falcão, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) Indonesia Asro Kamal Rokan dan Ketua Biro ANTARA Rangga Pandu Asmara Jingga.
Kehadiran delegasi luar negara itu memperlihatkan pengiktirafan terhadap HAWANA sebagai platform penting yang menghubungkan komuniti media di peringkat serantau dan antarabangsa.
Kira-kira 1,000 pengamal media khususnya wartawan termasuk dari beberapa negara ASEAN berkumpul di Pulau Pinang bermula hari ini bagi menghadiri Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena dekat sini.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana bagi menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.
Bersempena dengan sambutan itu, Karnival RIUH Pi HAWANA yang turut diadakan selama tiga hari di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena bermula hari ini dijangka menarik kira-kira 30,000 pengunjung.
Karnival RIUH Pi HAWANA menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman, selain menawarkan bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.
Pengunjung turut disajikan dengan 16 persembahan pentas membabitkan artis tempatan antaranya Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsea Ng, dengan kemasukan percuma.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial