BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bukan sahaja menjadi medan menghargai sumbangan pengamal media, malah turut membuka ruang kepada pelbagai organisasi media dan badan berkaitan industri kewartawanan menganjurkan program yang memperkukuh profesionalisme serta membincangkan cabaran semasa industri.
Menjelang Majlis Kemuncak HAWANA 2026 esok, pengamal media yang berkumpul di sini turut menyertai beberapa program lain termasuk Permukiman Media Malaysia 2.0 anjuran Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) yang menghimpunkan pengamal media mewakil 15 kelab media dari seluruh negara.
Presidennya Mohamad Fauzi Ishak berkata program itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara kelab media di bawah GKMM, tetapi juga menjadi ruang untuk menilai perkembangan gabungan berkenaan sejak ditubuhkan secara rasmi pada 24 Okt 2022.
“Ia juga menjadi platform untuk mengimbau kembali perjalanan dan pencapaian GKMM sepanjang tempoh tersebut sebelum AGM kali ketiga diadakan selepas ini tanpa melibatkan sebarang pemilihan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Program berkenaan dirasmikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Selain sesi permukiman dan AGM GKMM, turut berlangsung sesi town hall anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) bertajuk “2035: Will Journalists Still Exist?” di Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang (HCUC) yang membincangkan masa depan profesion kewartawanan dalam era AI, digitalisasi dan perubahan corak penggunaan berita.
Program itu menampilkan Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong, Timbalan Ketua Pengarang Urusan Kumpulan (Hal Ehwal Berita) Media Prima Bhd dan Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Farrah Naz Karim serta Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) yang juga Pengurus Besar Kanan Sokongan Kandungan Editorial NCA, Rangkaian Televisyen Media Prima (TVN) dan The New Straits Times Press (NSTP) Azhari Muhidin.
Esok pula, Majlis Media Malaysia dijadual mengadakan sesi pengenalan dan libat urus bersama pengamal media, selain program ramah mesra yang menghimpunkan pengamal media di wilayah utara.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok di PICCA @ Butterworth Arena dengan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Bernama sebagai agensi pelaksana merupakan platform tertinggi negara bagi menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media.
Bersempena dengan sambutan itu, Karnival RIUH Pi HAWANA turut diadakan selama tiga hari di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena bermula malam ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial