KEPALA BATAS, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 20 peserta terpilih menerima bantuan aset produktif berupa motosikal menerusi Program iTEKAD CIMB Islamic-MAINPP Entrepreneur dalam usaha memperkasakan golongan asnaf melalui peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan yang lebih mampan.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata program itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara CIMB Islamic Bank Berhad dan MAINPP melalui Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) bersama rakan pelaksana seperti Yayasan Belia Malaysia (YBM), Taylor’s Community serta foodpanda Malaysia.
Beliau berkata program berkenaan bukan sahaja menyalurkan bantuan aset produktif, malah menyediakan latihan, bimbingan keusahawanan serta sokongan berterusan bagi membantu peserta membina kehidupan lebih stabil dan keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Gabungan kepakaran dan peranan setiap pihak membuktikan bahawa pembangunan asnaf tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya memerlukan sinergi, keikhlasan dan komitmen bersama.
“Menerusi program ini, peserta menerima sebuah motosikal berserta kelengkapan penghantaran, selain latihan berkaitan pengurusan kewangan asas, disiplin kerja dan keusahawanan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan secara lebih tersusun,” katanya pada Majlis Penyerahan Motosikal kepada Peserta Program iTEKAD CIMB Islamic-MAINPP Entrepreneur di Bertam Resort, di sini hari ini.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata program itu digerakkan melalui dana pemula berjumlah RM400,000 dalam bentuk geran padanan, melibatkan sumbangan RM200,000 daripada dana Wakalah Zakat CIMB Islamic Bank Berhad dan RM200,000 daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, pada peringkat awal, sebanyak 151 permohonan diterima oleh Zakat MAINPP sebelum peserta melalui proses saringan yang teliti termasuk sesi temu duga dan Kem Keusahawanan Bermukim (BootCamp) yang berlangsung dari 31 Mei hingga 3 Jun 2026.
“Hasil penilaian yang dibuat, sebanyak 20 peserta terbaik telah dipilih untuk menerima geran motosikal pada hari ini. Penyerahan motosikal dan kelengkapan foodpanda kepada peserta yang berjaya ini menjadi lambang kepercayaan bahawa mereka mempunyai potensi untuk berjaya dan mengubah kehidupan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata program berkenaan turut selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang menekankan pembangunan ummah secara menyeluruh merangkumi aspek pendidikan, ekonomi, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiah.
Mohamad berkata kerajaan negeri mahu melihat bantuan yang diberikan bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, tetapi menjadi pemangkin kepada perubahan hidup yang lebih baik.
“Program iTEKAD ini membuktikan bahawa zakat mampu membuka peluang kepada asnaf untuk membina masa depan yang lebih stabil dan sejahtera,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial