AM

Fahmi Puji Sambutan Riuh Pi HAWANA, Harap Tarik Lebih Ramai Pengunjung

20/06/2026 12:36 AM

BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berpuas hati dengan kelancaran penganjuran program RIUH Pi HAWANA sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang berlangsung di tapak parkir Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, di sini.

Beliau berkata program itu bukan sahaja berjaya menarik kehadiran pengunjung, malah menyediakan platform untuk mengetengahkan bakat artis tempatan daripada pelbagai generasi.

“Setakat ini saya puas hati. Saya tengok ramai artis yang dibawa seperti Exists. Saya rasa ini satu peluang yang baik untuk kita tonjolkan artis-artis, bukan hanya veteran tetapi juga yang muda untuk tatapan semua,” katanya kepada pemberita di program itu malam ini.

Fahmi berharap orang ramai, khususnya penduduk di sekitar Pulau Pinang akan mengambil peluang menghadiri program berkenaan yang berlangsung hingga Ahad untuk menikmati suasana, mendengar muzik dan menyertai pelbagai acara disediakan.

Beliau juga berharap program itu dapat diteruskan pada penganjuran HAWANA akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing.

Karnival RIUH Pi HAWANA anjuran MyCreative Ventures menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman selain menawarkan bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.

Pentas acara turut diserikan dengan 18 persembahan muzik secara langsung dengan menampilkan barisan artis ternama serta bakat tempatan termasuk Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Fugo, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsia Ng.

HAWANA yang diperkenalkan pada 2018 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi peneraju.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan