EKONOMI

30 Tahun Di Turkmenistan, Petronas Meterai Perjanjian Baharu Perkukuh Kerjasama Strategik

20/06/2026 07:03 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

ASHGABAT (TURKMENISTAN), 20 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd (PC(T)SB), hari ini meraikan tiga dekad kehadirannya di Turkmenistan melalui pemeteraian beberapa perjanjian baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang dengan negara itu.

Detik bersejarah itu bertepatan dengan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan, sekali gus mencerminkan hubungan berterusan antara kedua-dua negara serta tiga dekad kerjasama yang dibina berasaskan kepercayaan, aspirasi bersama dan penciptaan nilai mampan dalam sektor tenaga.

Perdana Menteri berada di Turkmenistan bagi lawatan rasmi selama dua hari, bermula 18 hingga 19 Jun.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas memaklumkan PC(T)SB telah memeterai perjanjian baharu dengan State Concern Turkmennebit (Turkmennebit) dan State Enterprise Hazarnebit (Hazarnebit) bagi memperkukuh kehadirannya di Laut Kaspia serta memperluas portfolio huluannya di negara itu.

“Perjanjian tersebut merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara,” menurut kenyataan itu.

Petronas memaklumkan kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global.

PSA berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Petronas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Mohd Jukris Abdul Wahab bagi pihak PC(T)SB, manakala pihak Turkmennebit diwakili pengerusinya Guvanch Agajanov serta Pengarah Hazarnebit Esetov Amanmuhammet.

Sementara itu, CA tersebut ditandatangani oleh Mohd Jukris dan Agajanov.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Anwar dan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov.

Di bawah PSA yang dimeterai, PC(T)SB akan memperoleh kepentingan penyertaan 100 peratus bagi Blok 19 dan 20, sekali gus menandakan kemasukan Petronas ke kawasan eksplorasi baharu di Turkmenistan.

CA pula membolehkan pengumpulan data seismik baharu bagi menutup jurang data sedia ada serta membolehkan penilaian lebih menyeluruh terhadap blok luar pesisir utara.

Dalam perkembangan berkaitan, Petronas memaklumkan bahawa Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Jangka Panjang bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon Turkmenistan telah dimeterai antara Kerajaan Malaysia yang diwakili Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Kerajaan Turkmenistan yang diwakili Agajanov selaku Timbalan Pengerusi Kabinet Menteri Turkmenistan. 

Perjanjian itu membuka ruang kerjasama yang lebih luas merangkumi potensi pembangunan Medan Galkynysh, antara medan gas terbesar di dunia, selain peluang dalam sektor hiliran dan industri berkaitan termasuk penapisan minyak, pemprosesan gas serta bahan kimia berasaskan gas.

Mohd Jukris berkata perjanjian berkenaan mencerminkan keyakinan Petronas terhadap potensi berterusan sektor tenaga Turkmenistan serta kepercayaan terhadap kerjasama jangka panjang berasaskan saling menghormati dan kolaborasi teknikal.

“Kami merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Serdar Berdimuhamedov dan Pemimpin Negara Turkmen Gurbanguly Berdimuhamedov atas sokongan terhadap operasi Petronas serta kepimpinan mereka yang membawa hubungan Malaysia–Turkmenistan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen Petronas untuk terus bekerjasama dengan rakan strategiknya dalam membangunkan sumber secara bertanggungjawab, memperkukuh daya tahan tenaga serta menjana nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan.

Bersempena ulang tahun itu, Petronas dan Turkmennebit turut menganjurkan Forum dan Pameran “Turkmenistan-Malaysia: 30 Tahun Kerjasama Saling Menguntungkan dalam Sektor Minyak dan Gas” yang menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, pemain industri tempatan, syarikat Malaysia di Turkmenistan serta komuniti tenaga.

Forum berkenaan menjadi platform pertukaran pandangan mengenai peluang baharu, trend industri dan hala tuju pembangunan tenaga di Turkmenistan.

Selain itu, pameran dua hari turut memaparkan perjalanan 30 tahun Petronas di negara itu sejak 1996 termasuk pencapaian utama, sumbangan kepada pembangunan tenaga serta pelaburan pembangunan kapasiti tempatan.

Petronas memaklumkan syarikat itu telah melatih 235 juruteknik tempatan serta menaja 188 pelajar Turkmenistan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas dan fasiliti latihan teknikal Petronas di Malaysia.

Syarikat itu turut melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti termasuk kerja-kerja baik pulih sekolah di Kiyanly.

Pelaburan jangka panjang tersebut membantu melahirkan tenaga kerja mahir tempatan dengan lebih 1,000 rakyat Turkmenistan kini berkhidmat bersama PC(T)SB, mewakili hampir 90 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja syarikat di negara berkenaan.

Petronas menegaskan komitmennya sebagai rakan strategik yang dipercayai dalam menyokong keselamatan tenaga, memperkukuh hubungan dua hala serta menjana kemakmuran bersama pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan