BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Pelantikan Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) diharap akan memberi imej dan keyakinan baharu kepada majlis berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Nallini itu dilakukan secara serius, melibatkan individu yang mempunyai latar belakang dan rekod badan kehakiman serta berintegriti.
“Yang utama kalau itu (beliau) memiliki kelayakan yang tidak boleh dipertikaikan dan dia akan membantu memberikan satu imej dan keyakinan baru kepada majlis ini. Kita bersama dan rakan-rakan mendoakan (kejayaan beliau),” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Nallini.
Perdana Menteri pada masa sama mengucapkan tahniah kepada Nallini atas pelantikannya sebagai Pengerusi MMM.
Pelantikan Nallini dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Mei lepas.
Ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025, MMM ialah badan kawal selia kendiri industri media yang berperanan memperkukuh standard kewartawanan, mengendalikan mekanisme aduan awam berkaitan media, mempromosikan amalan beretika serta mempertahankan kebebasan media sebagai asas penting kepada demokrasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial