AM

IJN Tawar Diskaun Saringan Jantung 15 Peratus Kepada Pengamal Media

20/06/2026 06:40 PM

​BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Institut Jantung Negara (IJN) menawarkan diskaun eksklusif sebanyak 15 peratus bagi Pakej Saringan Jantung Essential kepada pengamal media sebagai penghargaan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

​Ketua Jabatan Pemasaran IJN Farah Delah Suhaimi berkata tawaran diskaun itu adalah sebagai mengiktiraf komitmen warga media yang sering sibuk mengejar masa, namun pada masa sama mereka perlu memastikan aspek penjagaan kesihatan jantung tidak diabaikan.

Beliau berkata pakej itu merangkumi ujian elektrokardiogram (ECG), ujian stres (kemampuan jantung) serta sesi konsultasi eksklusif bersama doktor pakar kardiologi.

“Urusan tempahan berserta pembayaran boleh dibuat dalam tempoh tiga bulan ini di reruai HAWANA atau laman web IJN, manakala tarikh janji temu saringan adalah fleksibel hingga hujung tahun ini," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Farah Delah berkata sempena sambutan HAWANA 2026, I​JN membawa ​trak unit bergerak dilengkapi empat katil pemeriksaan di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth.

Beliau berkata pengunjung boleh menjalani ujian ekokardiogram (echo) serta-merta di lokasi sekiranya saringan awal menunjukkan indikasi membimbangkan.

​“Di reruai, kita menyediakan pemeriksaan awal merangkumi tekanan darah, kolesterol, glukosa dan ECG. Jika bacaannya 'kurang cantik', mereka akan terus dirujuk ke trak ini untuk penilaian lanjut oleh doktor pakar yang kita bawakan bersama kira-kira 30 petugas hari ini," katanya.

​Sementara itu, Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia Adie Suri Zulkefli, 46, berkata kos dan faktor masa sering menjadi kekangan utama buat pengamal media untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala, sekali gus mengalu-alukan inisiatif IJN berkenaan.

​“Apabila ada potongan harga sebanyak ini dan diberikan pula kelonggaran untuk menempah awal bagi pemeriksaan kemudian, ia memberi dorongan kuat untuk rakan media tampil memeriksa jantung sebelum terlambat,” katanya.

​-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan