JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Keluar Hampir 300 Saman, Sita 49 Motosikal Dalam Ops Bersepadu Di Kuantan

21/06/2026 05:01 PM

KUANTAN, 21 Jun (Bernama) -- Polis mengeluarkan hampir 300 notis saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi Ops Bersepadu Dalaman yang dilaksanakan berhampiran Terminal Sentral Kuantan. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata saman dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 373 kenderaan termasuk 357 motosikal bermula 9 malam tadi hingga 8.30 pagi hari ini.   

Beliau berkata antara kesalahan utama yang dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan sebanyak 76 kes, tiada lesen memandu (42), tiada cermin sisi (41), ubah suai ekzos (33) dan ubah suai struktur kenderaan (27).

“Sebanyak 49 motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan pelbagai kesalahan yang melanggar peruntukan undang-undang jalan raya,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Ashari berkata operasi penguatkuasaan seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang berada pada tahap tinggi serta mewujudkan persekitaran jalan raya yang selamat untuk semua pengguna.  

“Polis menyeru orang ramai sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan sempurna dan mempunyai dokumen yang sah sebelum menggunakan jalan raya,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan