KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Polis menahan 349 individu dalam 235 serbuan dan pemeriksaan menerusi Op Cantas Bersepadu di premis perniagaan, kediaman serta tapak projek pembinaan di Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kesemua yang ditahan dalam operasi selama empat hari bermula Khamis lepas itu terdiri daripada 280 lelaki dan 69 wanita berumur lingkungan 20 hingga 83 tahun, termasuk 85 warga asing.
“Lima daripada yang ditahan berada dalam senarai orang dikehendaki di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (lLangkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala 34 lagi dikehendaki bagi kes jenayah kekerasan dan jenayah harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan terhadap 349 individu itu merangkumi pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Peniaga Sekendhend 1946, Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kumar berkata operasi terbabit yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik JSJ, Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa tempatan itu memfokuskan kepada tindakan mengesan dan menangkap individu disenaraikan sebagai orang dikehendaki.
Beliau berkata operasi turut menyasarkan usaha mengesan kumpulan jenayah terancang yang dikenal pasti termasuk melumpuhkan sumber kewangan melalui tindakan penguatkuasaan terhadap premis disyaki menjadi sumber pembiayaan kegiatan kumpulan.
Kumar berkata dalam operasi sama, dua pusat hiburan yang diperiksa didapati telah beroperasi tanpa lesen hiburan manakala 13 premis perniagaan dipercayai menggajikan pekerja warga asing tanpa pas atau permit yang sah.
“Tindakan kompaun telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap pemilik perniagaan yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan lesen,” katanya.
Kejayaan operasi itu, katanya membuktikan komitmen berterusan pihak polis dalam memperkukuh usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah, khususnya melibatkan aktiviti jenayah terancang menerusi kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu memperkukuh usaha pencegahan dan pembanterasan demi kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial