JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Lelaki Ditemukan Selepas 12 Hari Dilaporkan Hilang

21/06/2026 09:20 PM

BALING, 21 Jun (Bernama) -- Lelaki berusia 58 tahun ditemukan meninggal dunia di kawasan ladang getah berhampiran simpang tiga Felda Teloi Kanan dekat sini, hari ini, selepas 12 hari dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Brandon Anak Richard Joe berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.50 pagi tadi memaklumkan mengenai penemuan mayat di lokasi berkenaan.

"Pasukan yang ditugaskan ke lokasi mendapati mayat tersebut telah lama dan reput menyebabkan identitinya tidak dapat dikenal pasti.

"Turut ditemukan sebuah motosikal jenis Modenas berwarna hitam berhampiran mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan rekod orang hilang mendapati terdapat satu laporan dibuat bapa mentua mangsa di Sik pada 11 Jun lepas.

"Menurut bapa mentuanya, mangsa keluar dari rumah sejak 10 Jun lepas dengan menaiki motosikal yang sama.

"Pengecaman mayat dibuat berdasarkan penemuan kad pengenalan yang ada pada mangsa selain motosikal di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Siasatan dijalankan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan