AM

Puteri Kedua Raja Muda Perlis Tamat Kursus Asas Perajurit Sukarela Tentera Darat

21/06/2026 10:56 PM

KANGAR, 21 Jun (Bernama) -- Puteri kedua Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Tentera Darat Malaysia dari 7 Jun hingga semalam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurut kenyataan Istana Arau hari ini, penglibatan institusi diraja itu memperkukuh mesej bahawa semangat kecintaan terhadap watan harus dipupuk dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

“Keberhasilan Hajah Sharifah Farah Adriana menuntaskan Kursus APMS ini membuktikan secara nyata bahawa benteng pertahanan negara adalah amanah bersama,” menurut kenyataan itu.

Majlis perbarisan penutup kursus asas itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Padang Boulevard, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, Arau. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Istana Arau memaklumkan Hajah Sharifah Farah Adriana , 25, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Bachelor of Business - Management) dari Royal Melbourne Institute Of Technology (RMIT) University, Australia dan peringkat Sarjana pula (Masters Of International Business) dari Monash University Malaysia.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah dalam usaha memperkasakan lagi Askar Wataniah, usaha promosi akan terus dipergiat dan dipantau secara berterusan.

Baginda bertitah ia adalah untuk menarik lebih banyak penyertaan golongan muda yang sihat tubuh badan serta memenuhi semua keperluan minimum ditetapkan untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

“Rejimen Askar Wataniah akan terus mengekalkan peranan tugas iaitu To Raise, Train And Maintain anggotanya. Di dalam konsep mobilisasi, 'Raise' bukan sekadar menambah bilangan tetapi memastikan sumber manusia yang tepat bersedia untuk diserap.

Train menuntut kualiti latihan yang membolehkan mereka beroperasi secara integrasi dengan Angkatan Tetap, manakala Maintain pula memastikan kesediaan mereka sentiasa terpelihara bagi tujuan Augmentation pada bila-bila masa,” titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah usaha itu adalah kunci utama kepada kekuatan Tentera Darat dalam menghadapi sebarang cabaran keselamatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan