DUNIA

Malaysia, Bangladesh Bersatu Hati Isu Palestin, Gaza - PM Anwar

22/06/2026 01:39 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Bangladesh komited terhadap keamanan global dan akan terus bekerjasama dengan semua rakan antarabangsa untuk memacu kestabilan dan keselamatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata komitmen itu disokong oleh pendirian bersama yang dikongsi oleh kedua-dua negara dalam isu global, termasuk situasi di Palestin, rantau Teluk dan Iran.

"Mengenai isu global, mengenai Palestin, mengenai penderitaan dan kekejaman yang ditimpakan ke atas Gaza oleh rejim Zionis Israel, berhubung sokongan untuk keamanan yang berkekalan di Teluk dan Iran, kami bersama-sama dan kami akan terus terlibat dengan semua rakan kongsi kami untuk memastikan wujudnya keamanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman di sini, Isnin.

Anwar turut berterima kasih kepada rakan sejawatnya itu kerana melawat Malaysia, menyifatkan beliau sebagai sebahagian daripada keluarga besar.

"Anda sangat baik dan menyokong, dan saya berharap hubungan kekeluargaan dan persaudaraan ini semakin kukuh antara kita,” katanya.

Tarique tiba di Malaysia pada Ahad untuk lawatan rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan mengeratkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.

Ia juga lawatan rasmi pertama Tarique ke luar negara sejak memegang jawatan pada Februari tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan