AM

PM Bangladesh Tarique Akhiri Lawatan Ke Malaysia, Berlepas Ke China

22/06/2026 06:44 PM

SEPANG, 22 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman berlepas ke China hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Pesawat khas yang membawa Tarique dan delegasinya berlepas dari Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Beliau diberikan istiadat pelepasan rasmi yang turut melibatkan kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja sebelum berlepas pada 5 petang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, hadir mengucapkan selamat jalan kepada Tarique, isterinya Dr Zubaida Rahman serta delegasi Bangladesh.

Terdahulu hari ini, Tarique dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan menyentuh isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama dalam mesyuarat dua hala di Kompleks Perdana Putra.

Kedua-dua pemimpin turut meneroka peluang untuk memperkukuh lagi kerjasama dalam sektor utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pengurusan sumber manusia, semikonduktor, tenaga, pertanian dan pendidikan.

Selepas mesyuarat itu, Tarique dan Anwar turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan, serta dua Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang Penyelidikan Antikeganasan serta Promosi dan Pemudahcaraan Pelaburan.

Antara komitmen yang dicapai semasa lawatan itu ialah keperluan untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala melalui pelaksanaan segera Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serta peningkatan kerjasama dalam sektor pertumbuhan utama, termasuk tenaga dan industri halal.

Tarique turut mengulangi aspirasi Bangladesh untuk menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN serta hasrat negara itu untuk menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Mengenai isu global, kedua-dua pemimpin berkongsi pendirian sama dalam beberapa perkara antarabangsa utama, termasuk sokongan terhadap perjuangan Palestin, kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan di Gaza, usaha untuk memastikan keamanan berkekalan di rantau Teluk dan Iran, serta keperluan mencapai penyelesaian adil dan mampan bagi konflik yang sedang berlarutan.

Malaysia dan Bangladesh turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama melalui mekanisme ASEAN bagi mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu pelarian Rohingya yang telah berlarutan sekian lama, termasuk melalui penglibatan dengan pihak berkuasa Myanmar.

Tarique tiba di sini malam tadi untuk lawatan rasmi dua hari atas jemputan Anwar, yang merupakan lawatan rasmi dua hala pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan pada Februari 2026.

Pada 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (USD2.84 bilion), dengan eksport Malaysia ke negara itu bernilai RM10.08 bilion (USD2.35 bilion), didominasi produk petroleum.

Import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.10 bilion (USD500 juta), melibatkan tekstil, pakaian dan kasut.

Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global, selain rakan dagang kedua terbesar negara di rantau Asia Selatan selepas India, termasuk sebagai destinasi eksport dan sumber import utama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan