PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Menurut kenyataan SPRM hari ini, siasatan itu susulan dakwaan berlaku ketirisan dan penyelewengan dalam urusan berkenaan.
"Siasatan memberi tumpuan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta ejen yang terlibat dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah berkenaan dikenali sebagai DAK," menurut kenyataan itu.
Menurut SPRM, siasatan turut menjurus kepada dakwaan terdapat bayaran berkaitan urusan pemindahan itu yang tidak disalurkan kepada kerajaan, selain meneliti sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.
"Siasatan masih di peringkat awal dan sedang dijalankan secara menyeluruh," menurut kenyataan itu.
Pada 18 Jun lepas, pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) telah menggesa SPRM menjalankan siasatan berhubung pemindahan DAK.
Pertubuhan berkenaan turut mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta.
Sehubungan dengan itu, SPRM meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial