AM

Malaysia, Bangladesh Perluas Kolaborasi Strategik Dalam Pertahanan, Ketenteraan

22/06/2026 03:18 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Bangladesh komited untuk melaksanakan sepenuhnya Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pertahanan bagi meluaskan kolaborasi strategik dalam sains ketenteraan, kepakaran teknikal dan perkongsian industri pertahanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman mengiktiraf hubungan kukuh dalam kerjasama pertahanan yang telah lama terjalin hasil daripada lawatan ketenteraan peringkat tinggi yang kerap, program latihan kakitangan serta singgah kapal tentera laut di pelabuhan.

“Kedua-dua pemimpin komited untuk melaksanakan sepenuhnya MoU Kerjasama Pertahanan bagi meluaskan kerjasama strategik dalam sains ketenteraan, kepakaran teknikal dan perkongsian industri pertahanan.

“Mereka berharap dapat membentuk Jawatankuasa Bersama Kerjasama Pertahanan (JCDC) dua hala untuk merangka pelan tindakan pertahanan yang berstruktur,” demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini oleh Kementerian Luar bersempena dengan lawatan rasmi Tarique ke Malaysia.

Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan meningkatkan kapasiti dan keupayaan pertahanan melalui kursus dan program latihan, termasuk penempatan bersama di Kolej Pertahanan Nasional dan Kolej Pemerintah dan Staf masing-masing.

"Mereka seterusnya menyatakan komitmen untuk menyokong operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui latihan taktikal bersama, kerjasama latihan pra-kerahan dan pertukaran kepakaran serta pengetahuan untuk menangani persekitaran keselamatan global yang semakin kompleks," maklum kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga komited untuk memperkukuh kerjasama dua hala mencegah dan memerangi keganasan dalam segala bentuk ekstremisme ganas dan manifestasinya melalui perkongsian risikan, pertukaran maklumat, inisiatif pembangunan kapasiti, program latihan dan perkongsian amalan terbaik.

Sementara itu Anwar dan Tarique turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, termasuk melalui perkongsian antara universiti dan program penyelidikan bersama dengan memberi tumpuan kepada pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

Kedua-dua pemimpin menyedari akan kehadiran kira-kira 11,000 pelajar Bangladesh di Malaysia, dan sumbangan positif mereka kepada pertukaran akademik dan hubungan sosioekonomi antara kedua-dua negara serta nilai yang dibawa mereka setelah kembali ke Bangladesh.

"Kedua-dua pemimpin menekankan kepada usaha untuk meluaskan kelayakan yang diiktiraf bersama, program ijazah bersama dan kaedah pembelajaran yang fleksibel.

"Mereka juga menekankan kepentingan penyesuaian program akademik dengan keperluan pasaran buruh dan sektor keutamaan di kedua-dua negara, dengan tumpuan khusus kepada mobiliti siswazah dan pembangunan kemahiran," maklum kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga berhasrat untuk meluaskan kerjasama pelancongan, terutamanya bersempena dengan kempen “Tahun Melawat Malaysia 2026” (TMM2026) dan “Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026” (MYMT2026).

"Malaysia mengalu-alukan kedatangan pelancong Bangladesh, dan kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan promosi pelancongan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara," menurut kenyataan bersama itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan