EKONOMI

Untung Bersih Gamuda Suku Ketiga Naik Kepada RM258 Juta, Umum Dividen Lima Sen Sesaham

25/06/2026 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Gamuda Bhd merekodkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya sebanyak lima peratus kepada RM258 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, dipacu oleh sumbangan kukuh daripada nilai perolehan kontrak untuk pembinaan domestiknya.

Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak lima sen setiap saham biasa, menjadikan jumlah pembayaran dividen setakat ini kepada 10 sen sesaham.

Hasil bagi tempoh dalam tinjauan melonjak 38 peratus kepada RM4.5 bilion, menurut kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Nilai perolehan kontrak pembinaan kumpulan mencecah rekod baharu sebanyak RM52 bilion susulan kejayaan memperoleh projek-projek baharu bernilai RM11.7 bilion pada suku ini.

“Kejayaan memperoleh projek setakat tahun ini berjumlah RM25.1 bilion, merangkumi skim bekalan air, pusat data skala hiper di Malaysia, ladang solar di Australia dan projek sistem Transit Aliran Massa (MRT) di Taiwan,” tambahnya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 April, 2026, keuntungan bersih Gamuda meningkat lima peratus kepada RM703 juta manakala hasilnya melonjak 12 peratus kepada RM13 bilion.

“Hasil dan pendapatan sektor pembinaan bagi tempoh itu masing-masing meningkat 15 peratus dan tujuh peratus, dipacu oleh kemajuan rancak dalam projek-projek domestik,” jelasnya.

Nisbah penggearan kumpulan itu turut meningkat buat sementara waktu kepada 73 peratus disebabkan oleh pengambilalihan simpanan tanah strategik yang bertujuan mempertingkatkan portfolio projek yang memberi pulangan pantasnya di Vietnam dan Singapura, di samping pelaburan untuk membangunkan projek-projek sedia ada.

Tahap penggearan berkenaan dijangka berkurangan bermula tahun depan dan seterusnya memandangkan kumpulan bakal menjana hasil dan aliran tunai daripada nilai perolehan kontrak dalam tangan bagi kerja-kerja pembinaan yang mencecah rekod RM52 bilion dan jualan hartanah belum dibilkan sebanyak RM7.4 bilion.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan