SHAH ALAM, 25 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas dipercayai pengsan ketika bermain boling di sebuah pusat beli-belah di Kuala Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Azaharudin Tajudin berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga adik mangsa pada 12.15 tengah malam tadi selepas diberitahu oleh rakannya tentang keadaan abangnya pada 9 malam semalam.
“Mangsa yang berusia 36 tahun itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada 10.12 malam. Hasil pemeriksaan fizikal ke atas tubuh mangsa juga menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah.
“Bedah siasat oleh Pegawai Perubatan Forensik Hospital Tanjong Karang merumuskan punca kematian adalah serangan jantung mengejut, sekali gus kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerusi hantaran di Facebook rasmi turut menzahirkan rasa dukacita serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Allahyarham Iz’aan Haris Sarengat.
“Iz’aan Haris adalah peserta Kejohanan Tenpin Boling Belia 2026 anjuran Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sabak Bernam. Allahyarham dilaporkan rebah ketika menyertai kejohanan yang berlangsung sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial