BATU PAHAT, 27 Jun (Bernama) – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Fared Khalid memberikan jaminan bahawa kawasan berkenaan akan mempamerkan budaya berkempen yang harmoni sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Fared yang juga penyandang kerusi tersebut berkata pendekatan politik matang itu bertitik tolak daripada hakikat bahawa semua calon yang bertanding merupakan anak tempatan yang saling mengenali antara satu sama lain.
Beliau menyifatkan dua pencabarnya, iaitu Mohd Khuzzan Abu Bakar daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN) Halim Kepol sebagai pemimpin yang baik.
“Saya masih panggil YB Khuzzan sebab beliau mantan Exco dalam kepimpinan yang lepas. Beliau orang yang baik, orang yang bagus. Tuan Halim pun orang yang baik dan bagus daripada Perikatan Nasional.
"Kedua-duanya orang Semerah, orang kampung. Tidak ada apa-apa yang nak dikesampingkan. Saya boleh beri jaminan N17 Semerah akan menunjukkan cara berkempen paling harmoni, yang akan dipilih oleh pengundi-pengundi Semerah. Kami semua di Semerah tak faham erti perkelahian. Kami sentiasa ada ukhuwah bersama, muafakat Semerah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN Semerah di pekarangan Dewan Seri Mahkota, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat, di sini hari ini.
Mengulas tentang misi mempertahankan kubu BN itu, Fared berkata beliau akan bersandarkan rekod khidmat bakti dan gerak kerja sepanjang empat tahun yang sentiasa berjalan tanpa henti.
Katanya, fokus utama beliau adalah untuk membantu kebajikan masyarakat setempat terus diperkasakan menerusi platform media sosial sebagai medium penyebaran maklumat yang lebih meluas.
Ditanya mengenai jangkaan persaingan sengit pada PRN kali ini, beliau tidak menganggap perkara itu sebagai laluan mudah, namun sedia meraikan proses demokrasi tersebut dengan penuh kesantunan.
"Tidak ada yang mudah dalam setiap perkara. BN sentiasa memastikan setiap cabaran ialah keutamaan, dan kita suka nak meraikan pesta demokrasi ini dengan semua kesantunan, dan semua budi bicara yang baik.
"Kalah dan menang terpulang kepada Allah. Hasrat rakyat kita semat di dada. Insya-Allah rakyat akan bersama-sama kita untuk Johor yang lebih maju 2030," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lepas.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial