DUNIA

Piala Dunia FIFA: Belgium Benam New Zealand 5-1, Mara Ke Pusingan Seterusnya

27/06/2026 05:44 PM

ISTANBUL, 27 Jun (Bernama-Anadolu) -- Belgium membelasah New Zealand 5-1 untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya menerusi aksi terakhir Kumpulan G Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium BC Place, Kanada, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Belgium mendominasi permainan sejak awal dengan menembusi benteng pertahanan New Zealand menerusi hantaran kemas dan pergerakan yang bijak. Larian tanpa bola mereka berulang kali memaksa pertahanan lawan keluar dari posisi, manakala larian pemain ketiga yang tepat pada masanya menyebabkan skuad All Whites bergelut mengekang asakan itu.

The Red Devils mengawal perlawanan sepenuhnya sepanjang 30 minit pertama dengan mencatat 60 peratus penguasaan bola serta melakukan tujuh percubaan berbanding sifar oleh New Zealand.

Belgium akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-28 menerusi Leandro Trossard yang menyambar bola muntah hasil sepakan penjuru Kevin De Bruyne untuk meletakkan pasukannya di hadapan. Ketika itu, jaringan berkenaan menyaksikan New Zealand berada di ambang penyingkiran daripada kejohanan.

Gol itu mencetuskan sedikit peningkatan kepada New Zealand yang mula menguasai bola dengan lebih lama selain memperoleh beberapa sepakan penjuru. Dengan kelebihan fizikal di udara, All Whites dilihat lebih berbahaya menerusi situasi bola mati, manakala Belgium mula memperlahankan tempo permainan selepas mendahului.

Belgium memulakan babak kedua dengan lebih agresif, sebelum Trossard meledak gol keduanya pada minit ke-50 menerusi percubaan susulan.

Gol ketiga hadir menerusi pemain veteran Kevin De Bruyne pada minit ke-66 apabila beliau tenang merembat masuk bola ke penjuru gawang untuk mengukuhkan penguasaan Belgium.

Selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Iran, Elijah Just menambah gol ketiganya dalam kejohanan itu apabila meledak satu lagi jaringan menarik ketika menentang Belgium pada minit ke-84 menerusi percubaan separa voli dari berhampiran penalti.

Hampir seminit selepas dimasukkan, Romelu Lukaku kembali melebarkan jurang kepada tiga gol menerusi tandukan pada minit ke-86.

Alexis Saelemaekers kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Belgium apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-90+4 hasil gerakan bijak Lukaku.

Kemenangan itu menyaksikan Belgium menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan G sekali gus mara ke pusingan seterusnya, manakala New Zealand menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan dan tersingkir daripada kejohanan.

Belgium dijadual menentang Korea Selatan pada pusingan 32 terbaik.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan