AM

Kerajaan MADANI Perkasa Pemilikan Rumah Mampu Milik, 50 Terima Manfaat Rmr Di Terengganu

28/06/2026 03:32 PM

KUALA NERUS, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak 50 penerima di Parlimen Kuala Terengganu serta Parlimen Kuala Nerus menerima manfaat Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi penyerahan 30 kunci rumah siap dibina dan 20 surat tawaran pembinaan rumah baharu, hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata program RMR dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) sebagai agensi pelaksana di bawah kementerian tersebut. 

Program itu komitmen berterusan kerajaan MADANI untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang memiliki tanah tetapi tidak mempunyai kediaman sempurna, menduduki rumah yang selesa, selamat dan berkualiti.

“Program RMR bukan sekadar menyediakan sebuah kediaman tetapi juga menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui pemilikan rumah yang selesa. Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh pelaksanaan Program RMR agar lebih ramai rakyat dapat menikmati kediaman sendiri.

“Inisiatif ini bukan sahaja memenuhi keperluan asas tempat tinggal, malah menjadi pelaburan jangka panjang dalam membina kesejahteraan keluarga, memperkukuh komuniti dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyerahan itu diadakan sempena lawatan kerja M Noor Azman di Dewan Ehsan, Felda Wilayah Timur, di sini.

Kenyataan itu memaklumkan di bawah Belanjawan 2026, kerajaan menyasarkan pembinaan 6,545 unit RMR di seluruh negara dan sehingga kini, sebanyak 3,900 unit telah dilaksanakan membabitkan 2,478 unit yang telah siap dan diserahkan kepada penerima manakala 1,422 lagi dalam pembinaan.

Di Terengganu, sebanyak 680 unit RMR sedang dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan RM46.67 juta dan setakat Mei lepas, 246 unit telah siap dan diserahkan kepada pemohon yang layak manakala 154 lagi dalam fasa pembinaan.

Di Parlimen Kuala Terengganu, sebanyak 34 unit RMR dilaksanakan melibatkan 18 unit siap dibina dan 16 lagi dalam pembinaan manakala pelaksanaan di Parlimen Kuala Nerus melibatkan 32 unit rumah meliputi 25 telah siap dibina dan tujuh sedang dalam fasa pembinaan.

Sejak diperkenalkan 2002, program RMR telah memberi manfaat kepada lebih 80,000 keluarga di seluruh negara sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup rakyat melalui penyediaan kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan