POLITIK

Misi Bangunkan Johor Jaya: Calon PH Dan BN Tawar Formula Ekonomi, Infrastruktur

30/06/2026 05:01 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya Lee Wern Yiing, pernah berada di persimpangan antara mengejar kerjaya bergaji lumayan di Singapura atau pulang menabur bakti di tanah air.

Memilih jalan kedua, anak muda berusia 30 tahun itu tekad menumpukan hidupnya kepada khidmat masyarakat, selepas menamatkan pengajian di republik berkenaan pada 2018, didorong keyakinan tinggi terhadap proses reformasi negara.

Keputusan itu menjadi titik permulaan perjalanan politiknya, apabila menyertai pasukan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya Liow Cai Tung sebagai pegawai khas, sebelum kini diberi amanah mempertahankan kerusi berkenaan.

“Masa itu saya nampak Malaysia ada harapan, kami boleh ubah kepada yang lebih baik. Saya buat keputusan untuk balik ke Malaysia dan menyertai politik, kerana saya rasa saya mahu menyumbang untuk negara kita,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lee yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Johor, melihat pengundi muda sebagai kelompok penentu hala tuju negeri dan menolak persepsi bahawa golongan itu tidak mengambil berat soal politik.

“Mereka akan membuat pemerhatian sendiri dan membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka lihat. Sebab itu kita perlu sampaikan maklumat yang tepat mengenai dasar kerajaan,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Justeru, beliau menggabungkan pendekatan media sosial dan program komuniti seperti “Johor Jaya Run”, bagi mendekati golongan muda selain memberi fokus kepada isu peluang pekerjaan, perumahan dan kos sara hidup.

Mengulas pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Lee mahu projek itu dimanfaatkan sepenuhnya, bagi mewujudkan ekosistem pekerjaan yang mampu menarik lebih ramai anak muda pulang membina masa depan di Johor.

“Saya berharap Johor Jaya menjadi tempat yang apabila anak-anak muda mahu pulang, mereka boleh pulang pada bila-bila masa.

“Jika diberi peluang menjadi wakil rakyat DUN Johor Jaya, saya mahu membawa lebih banyak dasar yang mampu meningkatkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan, supaya lebih ramai anak muda dapat terus tinggal di sini bersama keluarga mereka,” katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Chan San San mempertaruhkan identiti sebagai “anak Plentong” dan pengalaman lebih 10 tahun mendampingi masyarakat setempat, sebagai modal kempennya.

“Lebih 10 tahun bersama komuniti, mengajar saya bahawa masalah rakyat meurpakan realiti yang mesti ditangani, bukan sekadar angka di atas kertas,” katanya.

Chan berkata pengalaman sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Timbalan Setiausaha MCA Johor dan Ahli Pasukan Sukarelawan Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM), menjadi asas untuk beliau terus berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau menggariskan empat fokus utama, termasuk memperkukuh ekonomi setempat dan menjadikan Johor Jaya sebagai hab pengangkutan di timur Johor Bahru, yang menghubungkan penduduk dengan projek Sistem Transit Rapid (RTS) selain mahu menangani isu kesesakan lalu lintas.

DUN Johor Jaya menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan Lee, Chan, Lau Yi Leong daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan calon Bebas Lim Hun Peaw.

PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

N42: JOHOR JAYA: 97,685

1. Lim Hun Peaw (Bebas/IND)

2. Lau Yi Leong (Bersama)

3. Chan San San (BN-MCA)

4. Lee Wern Yiing (PH-DAP)

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan