EKONOMI

MBI Berhasrat Malaysia, Indonesia Muncul Sebagai Pengeluar Utama Litar Bersepadu

10/07/2026 11:03 AM

Daripada Harizah Hanim Mohamed

BANDUNG, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) berhasrat melihat industri semikonduktor Malaysia dan Indonesia berkembang lebih pesat, termasuk muncul sebagai pengeluar utama litar bersepadu (IC), kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Saipolyazan M. Yusop.

Beliau berkata syarikat semikonduktor global kini giat mengembangkan operasi mereka di Selangor, sekali gus mewujudkan peluang kerjasama dengan syarikat teknologi dari Indonesia.

"Bagi syarikat teknologi Indonesia, Selangor menawarkan dua laluan strategik. Pertama, sebagai pangkalan operasi serantau untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran ASEAN.

"Kedua, sebagai rakan strategik dalam sektor digital dan semikonduktor bagi menyokong aspirasi pembangunan teknologi Indonesia,” katanya ketika membentangkan potensi projek pelaburan di Selangor sempena SIBS@ASEAN di sini hari ini.

Sesi pembentangan bertemakan "Selangor–Indonesia Sovereign Synergy: Scaling ASEAN's Economic Future" itu bersempena edisi pertama SIBS@ASEAN 2026 Bandung yang dianjurkan oleh Invest Selangor Bhd.

Saipolyazan berkata Selangor telah membangunkan ekosistem digital yang menyeluruh merangkumi aspek keterhubungan, reka bentuk semikonduktor, pembangunan bakat, pemecutan inovasi serta kerjasama industri.

Ia merangkumi infrastruktur gentian optik yang disokong kerajaan negeri, penyelesaian bandar pintar, infrastruktur perkongsian menara telekomunikasi, inisiatif keterhubungan awam serta ekosistem teknologi Cyberjaya.

"Selangor juga menempatkan hab reka bentuk litar bersepadu (IC) di Puchong dan Cyberjaya yang disokong program latihan teknikal serta pembangunan bakat yang seiring dengan keperluan industri," katanya.

Mengulas mengenai dua projek utama di Selangor, beliau berkata Hab Puchong (Fasa 1) yang berkeluasan 60,000 kaki persegi kini beroperasi pada kapasiti penuh.

"Ia menempatkan lebih 200 jurutera daripada 14 syarikat semikonduktor, dengan penyewa utama termasuk SkyeChip, MaiStorage dan Weeroc.

"Hab Puchong dijangka menjana pulangan ekonomi tidak langsung bernilai antara RM500 juta hingga RM1 bilion," katanya.

Mengenai Hab Cyberjaya (Fasa 2), Saipolyazan berkata hab itu menempatkan Akademi Semikonduktor Malaysia Lanjutan yang menyasarkan melahirkan 20,000 jurutera semikonduktor dalam tempoh 10 tahun.

"Kita kini telah menjadi sebahagian daripada rantaian nilai semikonduktor global dan pada masa yang sama, kerjasama antara Selangor dan Indonesia juga terbuka luas untuk diterokai," katanya.

Beliau berkata pertemuan antara wakil Selangor dan Indonesia bukan sekadar bertujuan membincangkan perdagangan atau mempromosikan pelaburan, sebaliknya bertujuan mengenal pasti kaedah memperkukuh rantaian nilai serantau, membuka peluang pelaburan baharu serta membentuk fasa pertumbuhan ASEAN yang seterusnya.

"Tema pembentangan saya hari ini juga bertepatan dengan trend semasa kerana ia mencerminkan hakikat bahawa masa depan ASEAN tidak akan dibina oleh pasaran semata-mata.

"Sebaliknya, ia akan dibentuk melalui kerjasama yang menghubungkan modal, infrastruktur, bakat, teknologi serta keupayaan pelaksanaan,” kata beliau.

Beliau berkata MBI Selangor selaku cabang pelaburan strategik Kerajaan Selangor berperanan menghubungkan peluang dengan rakan strategik yang berwibawa serta menterjemahkan hasrat strategik kepada pelaksanaan projek.

"Saya berharap sesi ini akan membuka ruang kepada perbincangan yang lebih praktikal mengenai bagaimana Selangor dan Indonesia dapat membina masa depan bersama serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi ASEAN," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan