SUKAN

Piala AFF Wanita: Malayan Tigress Ikat Laos 1-1

11/07/2026 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Skuad bola sepak wanita negara terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas terikat 1-1 menentang Laos pada aksi pembukaan Kumpulan A Piala AFF Wanita 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam ini.

Malaysia yang ketinggalan hasil jaringan Kemmy Phatdala pada minit ke-37 berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi Norhadfina Mohd Firdaus pada minit ke-50.

Terdahulu, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan aksi seimbang apabila saling mengatur serangan bagi mencari gol pembukaan.

Laos bagaimanapun terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Kemmy yang tenang menanduk sepakan percuma rakan sepasukan untuk menewaskan penjaga gol negara.

Bersambung babak kedua, Malayan Tigress tampil lebih agresif dan usaha itu membuahkan hasil apabila Norhadfina mengikat kedudukan 1-1.

Malaysia terus mengasak memburu gol kemenangan, namun kekentalan benteng pertahanan Laos menyaksikan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad negara kendalian Joel Cornelli akan meneruskan cabaran Kumpulan A menentang Singapura pada Khamis depan.

Dalam pada itu, Cornelli mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki anak buahnya pada baki saingan.

"Kami cuba memberi tekanan sejak minit pertama bagi mendapatkan gol awal, namun malangnya kami mensia-siakan beberapa peluang. Pada waktu rehat, kami membuat pertukaran untuk menambah kekuatan pasukan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir pada 19 Julai, manakala perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga dijadualkan berlangsung pada 22 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan