PASARAN > BERITA

RINGGIT TINGGI BERBANDING DOLAR AS DALAM DAGANGAN AWAL

19/06/2024 10:01 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Ringgit terus mencatatkan kenaikan untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu rendah dengan jangkaan meningkat mengenai kadar faedah global diturunkan pada tahun ini, kata ahli ekonomi.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.7080/7130 berbanding dolar AS daripada 4.7110/7155 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka mengukuh dengan kemungkinan kadar faedah AS yang lebih rendah akan mengurangkan perbezaan kadar antara Kadar Dana Fed dan Kadar Dasar Semalaman.

Dilaporkan Gabenor Rizab Persekutuan Adriana Kugler dalam ucapan pada Selasa menyatakan bahawa adalah wajar bagi bank pusat untuk menurunkan kadar faedahnya pada akhir tahun ini berikutan keadaan ekonomi yang bergerak di landasan yang betul.

Sehubungan itu, Afzanizam berkata mata wang tempatan diniagakan pada aliran meningkat berbanding mata wang serantau lain.

“Mungkin, pembaharuan dasar seperti rasionalisasi subsidi diesel telah menyumbang secara positif kepada pengukuhan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9818/9852 daripada 2.9798/9828 pada Selasa, susut berbanding pound kepada 5.9810/9874 daripada 5.9750/9807 dan rendah berbanding euro kepada 5.0555/0608 daripada 5.0492/0541 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 286.8/287.2 daripada 287.0/287.3 pada Selasa dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.02/8.04 daripada 8.03/8.05.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4838/4878 daripada 3.4793/4829 semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8322/8507 daripada 12.7874/8048.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan