PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI

24/06/2024 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa tengah hari pada Isnin berikutan jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, terutama di kaunter utiliti.

YTL Corp turun tujuh sen kepada RM3.51 dan YTL Power International susut sembilan sen kepada RM4.99, mengheret turun indeks komposit sebanyak 2.57 mata.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 0.50 mata kepada 1,589.87 daripada 1,590.37 ketika ditutup Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.50 mata lebih rendah kepada 1,589.87 dan bergerak di antara 1,582.78 dengan 1,593.89 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 819 berbanding 273 manakala 419 kaunter tidak berubah, 926 kaunter tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.05 bilion unit bernilai RM1.72 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan walau bagaimanapun, pihaknya percaya pasaran saham tempatan akan berubah positif dengan kemunculan aktiviti pembelian semasa harga murah.

“Kami percaya sentimen keseluruhan akan menjadi positif dengan sokongan daripada sektor teknologi susulan peningkatan permintaan terhadap pusat data, kecerdasan buatan dan perkhidmatan awan.

“Selain itu, kami menjangkakan pendapatan positif dicatatkan sektor perkapalan dan logistik berikutan kenaikan tambang sejak insiden Laut Merah,” menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan.

Menurut Malacca Securities paras rintangan didapati pada 1,605 hingga 1,610 dan sokongan pada 1,570 hingga 1,575.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM9.88, IHH Healthcare naik enam sen kepada RM6.24, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.01, CIMB kurang lima sen kepada RM6.74 dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.72.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang menambah satu sen kepada tujuh sen, Techbase naik 3.5 sen kepada 24 sen, GDB Holdings menokok 4.5 sen kepada 37.5 sen, K-One Technology bertambah 1.5 sen kepada 31 sen dan MY E.G. kurang satu sen kepada RM1.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 35.37 mata kepada 12,209.46, Indeks FBMT 100 turun 31.15 mata kepada 11,784.83, dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 30.30 mata kepada 12,548.87.

Indeks FBM 70 merosot 147.79 mata kepada 17,779.32 dan Indeks FBM ACE menguncup 48.90 mata kepada 5,740.15.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 45.19 mata kepada 17,371.34, Indeks Tenaga turun 8.06 mata kepada 954.94 dan Indeks Perladangan susut 4.62 mata kepada 7,023.76.

Walau bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.10 mata kepada 197.89.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan