PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA MENYUSUT SUSULAN AKTIVITI PENGAMBILAN UNTUNG BERTERUSAN

24/06/2024 07:05 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari keenam berturut-turut dalam jajaran dagangan yang agak kecil selepas pelabur terus mengambil keuntungan selain enggan membuat pergerakan ketara susulan penjualan besar-besaran teknologi di Wall Street pada Jumaat lepas, kata seorang penganalisis. 

Pada 5 petang hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 0.05 peratus atau 0.71 mata kepada 1,589.66 daripada 1,590.37 ketika ditutup Jumaat lepas,

Indeks penanda aras dibuka 0.50 mata lebih lemah pada 1,589.87 dan bergerak antara 1,582.78 dan 1,594.09 sepanjang sesi dagangan.

Kelebaran pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 914 berbanding 302, dengan 447 kaunter tidak berubah, 774 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 5.01 bilion unit bernilai RM3.78 bilion daripada 5.83 bilion unit bernilai RM6.06 bilion.

Ketua Penyelidikan Pelaburan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian, Mohd Sedek Jantan berkata sektor penjagaan kesihatan dan teknologi menyaksikan penyusutan ketara.

Beliau berkata sektor teknologi menurun berikutan kebimbangan bahawa saham-saham teknologi mungkin melembap.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pelabur sedang menanti pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) utama minggu ini untuk petunjuk mengenai kadar faedah. 

Indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS, tolok inflasi pilihan Rizab Persekutuan, akan dikeluarkan pada Jumaat akan datang.

“Bagi bursa tempatan, kami kekal optimistik dengan berhati-hati tentang pasaran ekuiti tempatan, didorong oleh penilaian yang menarik dan peningkatan dalam jumlah dagangan,

“Bagaimanapun, ketidaktentuan dan ketidakstabilan global yang semakin bertambah juga akan mempengaruhi hala tuju pasaran,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Thong menjangka indeks penanda aras akan mengekalkan corak pergerakan sisi dengan kecenderungan menaik untuk minggu ini.

Beliau menjangkakan potensi menaik selanjutnya jika indeks penanda aras menembusi rintangan 1,600 dan mengekalkannya untuk tempoh yang panjang.

“Kami meramalkan FBM KLCI akan berada dalam aliran jajaran 1,590-1,610 bagi minggu ini,” katanya lagi.

Saham-saham wajaran tinggi seperti Maybank merekodkan kenaikan dua sen kepada RM9.88, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.03 dan IHH Healthcare meningkat 12 sen kepada RM6.30.

Sementara itu, CIMB susut 11 sen kepada RM6.68 dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.72. 

Antara kaunter paling aktif, MY EG merosot 1.5 sen kepada 99.5 sen, Techbase Industries menokok tiga sen kepada 23.5 sen dan K-One melonjak setengah sen kepada 30 sen, tetapi Ingenieur Gudang kekal pada 6.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 50.79 mata kepada 12,194.04, Indeks FBMT 100 melemah sebanyak 44.36 mata kepada 11,771.62, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 34.03 mata kepada 12,545.14, Indeks FBM 70 kehilangan 210.61 mata kepada 17,716.50 mata dan Indeks ACE turun 75.04 mata kepada 5,714.01.

Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 62.12 mata kepada 17,354.41, Indeks Perladangan lemah sebanyak 3.86 mata kepada 7,024.52, dan Indeks Tenaga jatuh 10.86 mata kepada 952.14. 

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.66 mata kepada 198.45.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama melemah kepada 2.83 bilion unit bernilai RM3.31 bilion berbanding 3.29 bilion unit bernilai RM5.46 bilion yang disaksikan pada Jumaat sebelum ini.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.25 bilion unit bernilai RM160.70 juta daripada 1.46 bilion unit bernilai RM177.12 juta sebelumnya. 

Volum Pasaran ACE merosot kepada 918.10 juta saham bernilai RM305.71 juta berbanding 1.08 bilion saham bernilai RM419.40 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 485.26 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (701.26 juta), pembinaan (310.76 juta), teknologi (411.41 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (105.49 juta) , hartanah (258.93 juta), perladangan (18.79 juta), REITs (19.21 juta), dana tertutup (15,300), tenaga (158.54 juta), penjagaan kesihatan (113.33 juta), telekomunikasi dan media (60.51 juta), pengangkutan dan logistik (81.43 juta), utiliti (100.07 juta) serta perniagaan amanah (286,100).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan