PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP LEBIH TINGGI

27/06/2024 10:00 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini berikutan kebimbangan terhadap pengeluaran minyak sawit yang lebih lemah daripada jangkaan pada masa akan datang.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak kacang soya yang lebih kukuh turut menaikkan sentimen minyak sawit di pasaran. "Kami melihat sokongan pada RM3,800 satu tan dan rintangan pada RM3,980 satu tan," katanya kepada Bernama.

UOB Kay Hian Securities menjelaskan harga MSM kini didagangkan dalam lingkungan RM3,800-RM4,500 satu tan disebabkan gangguan cuaca jangka pendek selain kelewatan penghantaran di Laut Merah.

“Kami mengekalkan unjuran harga MSM untuk 2024 pada RM4,200 satu tan, dengan harga purata MSM tahun ini berada pada paras RM4,029 satu tan. Kami menjangkakan harga MSM didagangkan lebih tinggi pada separuh kedua 2024 berikutan bekalan minyak sawit yang agak terhad, manakala permintaan beransur-ansur kembali apabila minyak sawit memperoleh semula daya saing harganya,” katanya dalam satu laporan.

Pada penutup, kontrak bulan semerta Julai 2024 menambah RM19 kepada RM3,945 satu tan, Ogos 2024 meningkat RM16 kepada RM3,910 dan September 2024 adalah RM11 lebih tinggi kepada RM3,890. Oktober 2024 naik RM13 kepada RM3,884 satu tan, November 2024 menokok RM10 kepada RM3,886 dan Disember 2024 mencatatkan kenaikan sebanyak RM8 kepada RM3,901.

Jumlah dagangan melonjak kepada 59,948 lot berbanding 58,236 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 57,020 lot kontrak daripada 206,042 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan adalah RM20 lebih baik pada RM4,000 satu tan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan