PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SEJAJAR KEBANYAKAN PASARAN SERANTAU

27/06/2024 07:06 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini selepas mencatatkan peningkatan sederhana semalam, diseret oleh kelemahan dalam saham wajaran tinggi minyak dan gas terpilih, kata seorang penganalisis. 

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata penurunan itu sebahagian besarnya seiring dengan kebanyakan prestasi negatif di seluruh pasaran serantau berikutan data keuntungan industri China yang lebih lemah daripada jangkaan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.38 peratus atau 6.01 mata kepada 1,584.94 daripada 1,590.95 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras dibuka 0.58 mata lebih kukuh pada 1,591.53 dan bergerak antara 1,582.31 dan 1,592.26 sepanjang sesi dagangan.

Pada keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 804 berbanding 320, dengan 455 kaunter tidak berubah, 862 tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 4.23 bilion unit bernilai RM3.13 bilion daripada 4.73 bilion unit bernilai RM3.22 bilion.

Leong berkata secara teknikal, FBM KLCI membentuk aliran menurun apabila indeks utama mengakhiri semua kenaikan pada sesi sebelumnya.

"Buat masa ini, kami menjangkakan aliran terus cenderung menurun dengan indeks utama menghampiri paras sokongan 1,580 mata. Sementara itu, paras rintangan segera berada pada 1,600 diikuti 1,630," katanya kepada Bernama.

Leong mengunjurkan akan berlaku ketidaktentuan menjelang penerbitan data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS), di samping Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Chicago dan data sentimen pengguna Michigan di AS yang akan dikeluarkan lewat malam ini.

Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berpendapat bahawa pelabur kini dalam mod berhati-hati, menggunakan pendekatan tunggu dan lihat untuk melindungi keuntungan semasa sehingga data PCE dikeluarkan.

Pada masa ini, data inflasi Fed Nowcast menunjukkan peningkatan perlahan dalam PCE keseluruhan untuk Mei 2024, berada pada 2.62 peratus berbanding angka sebenar April sebanyak 2.65 peratus.

"Kemajuan yang lebih perlahan itu menunjukkan Fed mungkin mengekalkan kadar faedah sekurang-kurangnya melalui sesi mesyuarat yang lain," katanya kepada Bernama.

Pada peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank tidak berubah pada RM9.96, Tenaga Nasional menokok dua sen kepada RM13.94, Public Bank susut satu sen kepada RM4 dan kedua-dua CIMB dan IHH Healthcare masing-masing naik satu sen kepada RM6.77 dan RM6.28.

Bagi kaunter yang paling aktif, MY E.G. turun lima sen kepada 97 sen, YNH Property susut 11 sen kepada 49.5 sen, Dagang NeXchange merosot 2.5 sen kepada 44 sen, V.S Industry menokok satu sen kepada RM1.25 dan SBH Marine naik dua sen kepada 34 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 49.91 mata kepada 12,160.84, Indeks FBMT 100 turun 44.80 mata kepada 11,747.54, Indeks FBM Emas Shariah susut 71.30 mata kepada 12,496.24, Indeks FBM 70 merosot 68.71 mata kepada 17,720.15, dan Indeks FBM ACE susut 34.33 mata kepada 5,688.98.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 24.91 mata kepada 17,420.32, Indeks Tenaga jatuh 10.37 mata kepada 949.62, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.59 mata kepada 195.25, dan Indeks Perladangan susut 37.11 mata kepada 6,950.82.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 2.36 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 2.50 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Rabu.

Sementara itu, jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.05 bilion unit bernilai RM124.38 juta berbanding 1.40 bilion unit bernilai RM180.17 juta sebelumnya.

Bagi jumlah dagangan Pasaran ACE, ia merosot kepada 816.94 juta saham bernilai RM273.74 juta berbanding 822.4 juta saham bernilai RM295.02 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 386.91 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (490.04 juta), pembinaan (196.86 juta); teknologi (415.54 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (82.39 juta); hartanah (331.52 juta), perladangan (32.15 juta), REIT (16.48 juta), dana tertutup (8,400), tenaga (142.92 juta); penjagaan kesihatan (59.96 juta); telekomunikasi dan media (72.33 juta); pengangkutan dan logistik (71.18 juta); utiliti (55.79 juta); dan amanah perniagaan (2.7 juta).

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan